X

Kindly register in order to view this article
!

Sultan, rakyat saling mendekati

Al-Sultan Abdullah berkenan berangkat menyantuni dua keluarga di Bandar Diraja Pekan pada 15 Jun lalu.
A
A

KUANTAN - Kejadian banjir yang melanda beberapa kampung di Lipis baru-baru ini tidak terlepas daripada perhatian Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sebagai Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah sentiasa tersentuh dengan nasib rakyat jelata yang ditimpa musibah. Seri Paduka yang juga Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini mencemar duli mengadakan lawatan mengejut menemui mangsa banjir yang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Chegar Perah, Lipis.

Biarpun seketika, Al-Sultan Abdullah tetap meluangkan masa menyantuni rakyatnya bagi mendengar sendiri keluh-kesah mereka.

Sebelum beredar pulang, Seri Paduka turut mengurniakan sumbangan wang tunai bagi meringankan beban yang ditanggung mangsa terlibat.

Itu sebahagian kisah keprihatinan Sultan Pahang yang jelas menggambarkan betapa dekatnya rakyat di hati Seri Paduka.

Ketika bergelar Tengku Mahkota Pahang dan Pemangku Raja Pahang lagi, Al-Sultan Abdullah bersama isteri, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sentiasa mendekati dan didekati rakyat.

Istana Seri Paduka di Bukit Istana, Kuantan sentiasa dibuka untuk meraikan rakyat jelata terutama pada hari kebesaran seperti Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.

Seperti mana ayahandanya, Almarhum Sultan Ahmad Shah, apabila rakyat dilanda musibah bencana, Al-Sultan Abdullah segera turun padang untuk mengikuti perkembangan secara dekat dan menyelami sendiri kedukaan mangsa tidak kira siang atau malam, panas atau hujan, dekat atau jauh.

Bahkan bukan sekali dua Seri Paduka berdua berkenan berangkat menemui keluarga mangsa tragedi di Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.

Paling menyentuh hati rakyat jelata apabila Al-Sultan Abdullah sanggup menyantuni mangsa-mangsa banjir di pusat pemindahan. Kehadiran Seri Paduka mendengar khabar mangsa banjir sedikit sebanyak meredakan beban perasaan rakyat.

Paling ditunggu-tunggu rakyat, hidangan menyelerakan air tangan istimewa Tunku Azizah untuk mangsa banjir di pusat pemindahan.

Sering buat kejutan

Biarpun kini berada di singgahsana Istana Negara di Kuala Lumpur sebagai Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah tetap seperti dahulu sentiasa mengambil tahu tentang perkembangan dan hal ehwal semasa negeri Pahang.

Setiap kali Seri Paduka pulang ke bumi Tok Gajah, pasti ada sahaja cerita. Malah akan menjadi satu pengalaman luar biasa bagi sesetengah rakyat yang menerima ‘kejutan’ daripada Al-Sultan Abdullah.

Ternyata kejutan-kejutan itu sentiasa tular di media sosial dan mendapat respons positif dalam kalangan netizen.

Antara peristiwa itu, kisah seorang pengusaha gerai makan di tepi jalan Kampung Sungai Kenau, Sungai Lembing di sini yang menerima kejutan daripada Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah pada September tahun lalu.

Seri Paduka berdua tiba-tiba singgah untuk menikmati mi bandung di gerai tersebut dalam perjalanan pulang dari satu program bertemu rakyat di Sungai Lembing. Kisah itu bukan hanya kejutan kepada pengusahanya, Nor Madihah Ahmad Rosli, 24, malah kepada semua pelanggan yang ada ketika itu.

Seri Paduka juga pernah membuat kejutan apabila muncul dan beratur memesan sendiri makanan di sebuah kedai makanan segera di bandar Temerloh pada 21 Jun tahun lalu.

Seri Paduka meluangkan masa beramah mesra dan menghulurkan sumbangan kepada anak mangsa banjir ketika mengadakan lawatan mengejut bertemu mangsa banjir Sekolah Kebangsaan (SK) Chegar Perah, Lipis baru-baru ini.
Seri Paduka meluangkan masa beramah mesra dan menghulurkan sumbangan kepada anak mangsa banjir ketika mengadakan lawatan mengejut bertemu mangsa banjir Sekolah Kebangsaan (SK) Chegar Perah, Lipis baru-baru ini.

Gelagat Seri Paduka ketika itu mencuri perhatian ramai. Masing-masing tidak menyangka sosok tubuh yang sedang memesan makanan itu Sultan Pahang dan Yang di-Pertuan Agong.

Itulah antara kisahnya. Yang pasti banyak lagi kejutan daripada Seri Paduka termasuk dalam peristiwa Al-Sultan Abdullah menemui dan membantu mangsa kemalangan.

Sikap ditunjukkan itu bukan suatu yang baharu kerana Seri Paduka cukup dikenali sebagai seorang yang tidak mementingkan protokol ketika bertemu rakyat.

Itulah keperibadian Al-Sultan Abdullah yang cukup dikenali rakyat Pahang sejak dahulu lagi. Sikap dan keperibadian itu cukup menyentuh hati siapa sahaja dan itu antara sebab itu rakyat juga berasa dekat dengan Al-Sultan Abdullah.

Rakyat Pahang berikrar untuk taat setia kepada pemerintahan Seri Paduka sebagaimana diungkap Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sempena Istiadat Pemasyhuran Al-Sultan Abdullah sebagai Sultan Pahang keenam di Istana Abu Bakar, Pekan pada Januari tahun lalu.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!