Rakyat Malaysia bebas bersuara

Syahredzan Johan
Syahredzan Johan
A
A
A

RAKYAT Rakyat Malaysia bebas mengeluarkan pendapat atau buah fikiran selagi tidak melanggar undang-undang yang digubal di bawah Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Peguam Syahredzan Johan berkata, kebebasan bersuara adalah termaktub di bawah Perkara 10(1)(a) yang menyatakan dengan jelas bahawa setiap rakyat Malaysia mempunyai kebebasan untuk bersuara dan menyuarakan pendapat.

Bagaimanapun, katanya, Parlimen boleh menggubal undang-undang menurut Perkara 10(2)(a) untuk menyekat kebebasan ini sekiranya ia berkenaan beberapa perkara antaranya berkaitan keselamatan dalam negeri, prinsip moral, ketenteraman awam dan hubungan antarabangsa.

“Namun demikian, isu di Malaysia adalah undang-undang yang digubal sering kali terlalu luas dan tidak khusus kepada apa yang dinyatakan dalam Perlembagaan.

“Satu contoh mudah ialah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang menjadikan satu kesalahan untuk membuat hantaran atas talian yang jelik sifatnya (offensive in nature) dan bertujuan ‘menyakitkan hati orang lain’.

“Seksyen ini terlalu luas dan dalam Perlembagaan tiada had berkenaan dengan kebebasan itu boleh disekat jika ada orang lain sakit hati,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas medium untuk rakyat Malaysia menyuarakan pendapat atau meraikan hak kebebasan bersuara mereka, Syahredzan berkata, dalam Perlembagaan tidak disebut tentang saluran betul yang boleh digunakan.

“Maknanya, amalan hak bersuara itu boleh diamalkan walau dalam apa jua saluran sekalipun termasuklah ekspresi dalam media sosial seperti Facebook dan Twitter.

Artikel Berkaitan:

“Tambahan pula pada zaman ini media sosial boleh dikira sebagai saluran efektif untuk bersuara mengenai isu-isu awam dan negara,” katanya.

Namun, beliau berkata, terdapat undang-undang seperti Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia yang sering digunakan apabila berlaku hantaran yang lucah, palsu, mengancam, sumbang atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain.

“Di samping itu, ada juga Seksyen 505 Kanun Keseksaan iaitu membuat kenyataan yang boleh membawa kepada khianat awam serta Akta Hasutan, yang pada saya juga terlalu luas dan menjadikannya satu kesalahan untuk mengeluarkan kata-kata dengan ‘kecenderungan menghasut’,” katanya.

Tegasnya, banyak lagi undang-undang lain yang boleh digunakan untuk menyekat kebebasan bersuara.

Syahredzan berkata, secara keseluruhannya beliau berpandangan rakyat Malaysia seharusnya dibenarkan mengamalkan hak mereka untuk bersuara selagi mana ia tidak mendatangkan mudarat kepada sesiapa.

Menurutnya, walaupun komen itu jelik atau sumbang, selagi tidak ada ancaman seperti itu, ia wajar dibenarkan.

“Undang-undang hanya perlu campur tangan dalam keadaan adanya ujaran yang memberi ancaman seperti itu,” katanya.

Nik Ahmad Kamal
Nik Ahmad Kamal

Saluran

Sementara itu, pakar undang-undang dan perlembagaan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood turut menyatakan pandangan senada. Katanya, hak bersuara dalam Perlembagaan termaktub dalam perkara 10(1)(a), bermaksud bercakap dan bersuara dengan bebas tertakluk kepada sekatan-sekatan di bawah Perkara 10(2)(a) iaitu berdasarkan prinsip moral dan melindungi mahkamah daripada dihina, fitnah atau mengapi-apikan kesalahan.

Beliau berkata, tiada definisi bersuara dan bercakap dalam Perlembagaan, malah apa jua bentuk ekspresi termasuklah berpakaian, aksi, lukisan, mural dan ekspresi mengikut medium-medium tertentu boleh dianggap sebagai bersuara dan bercakap.

“Selagi sesuatu itu keluar secara lisan atau tulisan ia dianggap sebagai bercakap dan bersuara. Tambah lagi, tiada saluran khusus untuk bersuara menyebabkan orang ramai ‘bersuara’ melalui media sosial di samping media-media yang lain.

“Jadi apa yang rakyat mahu katakan dibuat melalui media pilihan mereka tanpa sekatan selagi mereka bercakap perkara-perkara yang tidak bersalahan dengan undang-undang, tidak menghina, tidak memfitnah, tidak mengadu domba, tidak membangkitkan kemarahan orang lain termasuk tidak memecahkan rahsia rasmi,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Selain itu, katanya, sekatan atau had kebebasan bersuara seperti yang disebut dalam Perkara 10(2)(a) adalah keselamatan Persekutuan, hubungan baik dengan negara-negara lain, ketenteraman awam, prinsip moral, melindungi keistimewaan Parlimen, menghina mahkamah, fitnah dan mengapi-apikan kesalahan.

Menurutnya, sekatan itu termaktub dalam undang-undang seperti Akta Hasutan, Akta Fitnah, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Kanun Kesiksaan dan pelbagai undang-undang lain yang menghukum kesalahan kerana bercakap atau bersuara yang bertentangan dengan undang-undang.

“Ia juga termasuk undang-undang yang mengawal selia media seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, manakala Akta Komunikasi dan Multimedia melibatkan kesalahan-kesalahan termasuk memaparkan kata-kata yang menghina, jelik, dan seumpamanya.

“Sekatan dalam undang-undang ada sebabnya seperti disebut dalam Perkara 10(2)(a), misalnya keselamatan dan ketenteraman awam yang amat penting. Bayangkan jika ada provokasi dan penghinaan antara kaum dan agama, sudah tentu bala besar kepada negara. “Bayangkan pada 13 Mei 1969, salah satu sebabnya ialah provokasi yang menaikkan kemarahan orang lain dan akibatnya tidak perlu kita ulang lagi,” katanya.

Nik Ahmad Kamal berkata, dalam situasi sekarang, ramai yang menyalahgunakan media sosial untuk menghina dan mendatangkan provokasi bukan sahaja terhadap kaum dan agama, malah provokasi antara sesama bangsa, antara rakyat dan jabatan kerajaan, antara rakyat dengan syarikat dan kumpulan, organisasi dan institusi.

Katanya, jika tidak dikekang dan tiada undang-undang yang boleh menghukum mereka, sudah tentu Malaysia tidak aman.