'Keputusan Mohamed Apandi lepaskan Najib tidak konklusif'

Mahkamah semalam menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib selepas bekas Perdana Menteri itu didapati bersalah terhadap semua tujuh pertuduhan yang berkaitan dengan penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd. - Foto Bernama
Mahkamah semalam menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib selepas bekas Perdana Menteri itu didapati bersalah terhadap semua tujuh pertuduhan yang berkaitan dengan penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keputusan bekas peguam negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali melepaskan Datuk Seri Najib Tun Razak daripada sebarang kesalahan jenayah empat tahun lepas tidak konklusif, menurut Mahkamah Tinggi.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali dalam penghakimannya semalam berkata, ini kerana penemuan Mohamed Apandi dalam satu kenyataan akhbar, adalah berdasarkan kepada bukti yang dikumpul oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan sebagaimana didedahkan dalam kertas siasatan (IP) ketika itu.

Beliau berkata, walaupun Mohamed Apandi dan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad memutuskan bahawa siasatan telah selesai berdasarkan kepada apa yang dikumpul oleh SPRM sebagaimana yang dicatatkan dalam IP, bagaimanapun sebarang ketetapan mahkamah perlu berdasarkan kepada bukti yang dikemukakan di mahkamah yang mengendalikan kes berkenaan.

"Secara mudahnya pandangan DW14 (Mohamed Apandi, yang merupakan saksi ke-14 pembelaan) dan DW17 (Dzulkifli, saksi ke-17 pembelaan) tidak boleh menggantikan bukti yang dibawa ke mahkamah ini untuk mencapai keputusannya.

"Tambahan lagi, dalam keadaan apa pun, oleh kerana perkara itu sekarang telah diterjemahkan ke dalam tuduhan jenayah formal di bawah Seksyen 23 Akta SPRM, mahkamah harus menentukan sama ada ia satu kesalahan atau tidak, sebagaimana yang kemukakan dalam pertuduhan telah dibuktikan melampaui keraguan yang munasabah, berdasarkan semua bukti yang ada dalam perbicaraan ini,” katanya.

Semalam hakim itu menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib selepas bekas perdana menteri itu didapati bersalah terhadap semua tujuh pertuduhan yang berkaitan dengan penyelewengan RM42 juta dana SRC.

Hakim Mohd Nazlan berkata, tidak boleh dikatakan bahawa bukti oleh bekas peguam negara kenyataan akhbar serta keterangan Dzulkifli yang memainkan peranan penting dalam membantu Mohamed Apandi dalam mengkaji semula IP daripada SPRM, menyokong kes pembelaan dalam mematahkan hujah kes pendakwaan atau menimbulkan keraguan yang munasabah dalam kes pendakwaan.

“Ini kerana kedua-dua DW14 dan DW17 dalam dalam keterangan mereka semasa pemeriksaan balas, mengaku bahawa mereka tidak sedar sebarang siasatan seterusnya yang dijalankan oleh SPRM terhadap pengumuman pada 26 Januari 2016 kepada NFA (tiada tindakan lanjut) terhadap IP, di mana menurut pendakwa utama, kenyataan direkod daripada 76 saksi di samping kenyataan seterusnya diambil dari saksi sedia ada. Kedua-dua DW14 dan DW17 juga tidak sedar bahawa bukti penerimaan pengetahuan yang terkandung dalam afidavit yang disahkan oleh tertuduh dalam satu kes saman.

Artikel Berkaitan:

“Oleh itu, tidak dapat dinafikan lagi bahawa pertuduhan di bawah Seksyen 23 SPRM juga kemudiannya mendapat manfaat bukti-bukti tambahan yang sebelumnya tidak tersedia pada masa pengumuman dibuat oleh Peguam Negara untuk siasatan NFA," katanya.

Dalam satu fakta lain yang berkaitan penubuhan SRC International Sdn Bhd, hakim berkata, dalam penilaiannya walaupun perkara itu ada dalam Rancangan Malaysia Ke-10, dorongan bagi cadangan untuk benar-benar memulakan apa yang dirancang, datang daripada seseorang yang berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dan bukannya kerajaan.

Beliau berkata, jelas sekali bahawa idea, atau cadangan itu tidak bermula daripada sebarang agensi kerajaan atau kementerian.

“Kemudian dibuktikan terdahulu bahawa tertuduh mempunyai kepentingan peribadi dalam SRC, satu penemuan yang kekal tidak dapat dijawab oleh pihak pembelaan.

“Bagaimanapun pembabitan tertuduh dalam penubuhan SRC adalah satu-satunya aspek kes ini, apabila dibandingkan kepada keseluruhan bukti yang dikemukakan terhadap tertuduh.

“Walaupun sekiranya tertuduh tidak bertanggungjawab secara berseorangan dalam penubuhan SRC, perkara yang lebih penting adalah, kelulusan untuk penubuhan SRC oleh tertuduh, ada permulaan sebenar bagi pembabitan tertuduh dalam syarikat berkenaan” katanya.

Hakim itu berkata, ia bermula dengan surat SRC kepada tertuduh yang bertarikh 3 Jun 2011 yang meminta kelulusan beliau bagi SRC mendapatkan pinjaman RM3.95 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (diperbadankan) (KWAP).

“Tertuduh bersetuju dengan surat permohonan SRC, dan dialamatkan kepada CEO KWAP (Datuk Azian Mohd Noh yang merupakan saksi pendakwaan ke-38), dan tertuduh berkata bukan niatnya untuk mengarahkan PW38 mengikut sahaja dengan memberikan pinjaman kepada SRC berdasarkan kepada surat itu.

“Tertuduh sedar hakikat bahawa PW38 hanyalah anggota ex-officio Panel Pelaburan KWAP dan dengan itu tidak mempunyai kuasa untuk menyetujui pinjaman itu, walau apapun catatannya menunjukkan persetujuannya dengan surat SRC, tertuduh menyatakan bahawa dia setiap masa tahu sepenuhnya bahawa pihak yang mempunyai kuasa untuk memutuskan pinjaman itu adalah Panel Pelaburan KWAP.

“Tertuduh bersetuju dalam pemeriksaan balas bahawa dia adalah bos utama PW38 tetapi dengan peringatan, bahawa ia (proses pinjaman) perlu menjalani proses yang sewajarnya,” katanya.

Mahkamah berpandangan bahawa keterangan tertuduh seterusnya termasuk beliau mengaku bahawa surat SRC tidak seharusnya dianggap sebagai arahan kepada Azian, memandangkan dia (Azian) juga perlu meletakkan permohonan SRC melalui proses yang biasa, sebagaimana yang akan dilakukannya sebagai CEO KWAP lakukan terhadap sebarang permohonan lain.

Hakim Mohd Nazlan berkata, tiada bantahan bahawa proses di KWAP, Kementerian Kewangan dan Kabinet semuanya walaupun perlu disegerakan, perlu mematuhinya secara umum.

Beliau berkata, pihak yang berkaitan dipertanggungjawabkan sebagai pihak berkuasa meluluskan untuk membuat keputusan, bukannya tertuduh.

“Itu telah dibuktikan. Pertikaiannya adalah siri tingkah laku dan keputusan yang dibuat oleh tertuduh terhadap pegawai tinggi KWAP dan Kementerian Kewangan mengenai pembiayaan dan jaminan kerajaan termasuk penyertaannya dalam mesyuarat Kabinet yang relevan di mana tanpa pembiayaan dan jaminan, ia tidak akan dapat dilaksanakan.

“Isu berkaitan dengan pengakuan tertuduh mengenai surat SRC kepada PW38 dan perbualannya dengan PW45 (pengerusi KWAP, Tan Sri Wan Aziz Wan Abdullah) adalah bukan sama ada terdapat arahan yang mesti diikuti.

“Ujian yang sebenarnya adalah sama ada tindakan yang dilakukan akan dilakukan atau boleh dilakukan dengan berkesan sekiranya orang yang dipersoalkan tidak memegang sebarang jawatan berstatus atau pihak yang berkuasa yang memang sebenarnya beliau memilikinya,” katanya.

Mahkamah diberitahu bahawa kabinet meluluskan jaminan kerajaan RM2 bilion untuk pinjaman kepada SRC pada Ogos 2011 dan RM2 bilion lagi pada Februari 2012. - Bernama