JAS Perak keluarkan 188 kompaun dalam masa tiga hari

Rosli (tengah) bersama anggota dan pegawai JAS yang terlibat dalam Ops Gempur 2.0 ketika ditemui pada sidang akhbar hari ini.
Rosli (tengah) bersama anggota dan pegawai JAS yang terlibat dalam Ops Gempur 2.0 ketika ditemui pada sidang akhbar hari ini.
A
A
A

IPOH - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak mengeluarkan 188 kompaun dengan nilai keseluruhan RM376,000 atas kesalahan berkaitan pengendalian dan pengurusan bahan buangan dalam Ops Gempur 2.0 di beberapa lokasi di seluruh negeri.

Semua kompaun itu dikeluarkan hasil pemeriksaan ke atas 46 premis dalam tempoh tiga hari bermula Isnin lalu.

Pengarah JAS Perak, Rosli Zul berkata, hasil pemeriksaan mendapati, 32 premis atau 70 peratus daripada jumlah keseluruhan premis telah melanggar kehendak Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling dengan kesalahan paling banyak dilakukan adalah berkaitan pengendalian dan pengurusan bahan buangan terjadual di bawah Buangan Terjadual 2005 diikuti Effluen Perindustrian 2009.

"Berdasarkan 32 premis tidak patuh ini, kita telah melaksanakan tindakan penguatkuasaan dengan mengeluarkan 188 kompaun yang mana setiap satu kompaun bernilai RM2,000. Terdapat satu premis telah dikenakan tindakan sehingga 22 kompaun atas pelbagai kesalahan dilakukan.

"Selain itu, 51 notis arahan turut dikeluarkan di bawah Seksyen 31 dan 37 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan dua kertas siasatan dibuka ke atas dua kilang yang beroperasi di Sungkai di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014," katanya pada sidang akhbar di Pejabat JAS Perak di sini hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan dijalankan 27 pegawai penguat kuasa JAS Perak dan cawangan Taiping serta Teluk Intan itu turut mengeluarkan arahan penggantungan lesen pengangkutan ke atas sebuah kilang di Ipoh selepas didapati gagal mengurus buangan di kemudahan penstoran yang disediakan.

Katanya, sekiranya tidak ditangani dengan betul, dikhuatiri pemilik premis akan mengambil kesempatan menggunakan ruang yang tidak sepatutnya sehingga menjejaskan kualiti alam sekitar.

"Selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, kita dapati pihak industri lebih memfokuskan kepada pengeluaran tanpa menitikberatkan peraturan yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

"Atas faktor itulah JAS perlu bertindak lebih serius bagi memastikan pihak industri menjalankan operasi mengikut kehendak perundangan ditetapkan," katanya.

Untuk rekod, Ops Gempur 1.0 yang dijalankan selama empat hari sebelum PKP lalu hanya merekodkan 102 kompaun sahaja berbanding 188 ketika ini yang menunjukkan peningkatan sebanyak 86 kes.