Kemungkinan PRU15 sangat besar

No Image Caption
A
A
A

PENDIRIAN Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tidak mahu mencampuri urusan mahkamah berkenaan kes berprofil tinggi wajar dipuji. Ini adalah manifestasi kepada usaha membersihkan institusi kehakiman negara. Semoga reformasi itu akan berjaya direalisasikan sepenuhnya.

Kecekalan bekas Perdana Menteri keenam negara, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam usaha membersihkan namanya di mahkamah juga wajar dikagumi. Sikap beliau yang tidak mengheret rakyat ke jalanan untuk membantah keputusan mahkamah wajar dipuji.

Kita pernah melihat sejarah, ada pemimpin yang tumbang dalam ‘perlawanan’ politik apatah lagi dihadapkan ke mahkamah mengheret ribuan rakyat menjadi penunjukan perasaan.

Benar, tidak mudah buat Najib untuk mendepani saat-saat sukar apabila disabitkan dengan hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta. Apatah lagi melihat mereka yang rapat sehingga pernah mencium tangannya satu ketika masa dulu, kini ramai yang telah menjauhkan diri.

Hanya sahabat sejati yang masih bersama dan kakitangan kerajaan serta rakyat bawahan yang pernah beliau bantu masih setia bersama. Jika tidak, manakan penuh pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur semalam dengan orang ramai walaupun menyedari ancaman Covid-19.

Apapun, itulah hakikat kehidupan yang berat untuk ditelan, tetapi amat bermakna kerana ia mendewasa lagi mematangkan. Sesungguhnya ALLAH jugalah sebaik-baik tempat mengadu. Buat pemimpin lain malah semua kita, sedarlah bahawa tidak semua yang ada di sekeliling kita akan bersama kita ketika kita susah.

Buat barisan kepimpinan UMNO, bertenanglah. Jangan terburu-buru dalam membuat keputusan. Izinkan Najib melengkapi segala proses perundangan yang ada. Tenanglah dalam membuat keputusan dan dalam setiap langkah.

Kembali dan hormatilah keputusan yang telah dibuat oleh Hakim terhadap Najib. Namun, pastinya keputusan itu sedikit sebanyak merenggut semangat, harapan para penyokong Najib yang bersimpati dengannya.

Artikel Berkaitan:

Najib berkongsi foto beliau bersama pemimpin utama Pas itu di Facebook miliknya, Najib Razak.
Najib berkongsi foto beliau bersama pemimpin utama Pas itu di Facebook miliknya, Najib Razak.

Kawan, lawan politik

Tidak sedikit yang mendirikan solat hajat memohon pertolongan ALLAH agar diberi kemenangan kepada beliau dan ramai juga yang menitiskan air mata kerana sedih dengan hukuman yang dijatuhkan.

Ada antara mereka itu tidak pernah bertemu empat mata dengan Najib, apatah lagi mendapat apa-apa manfaat besar seperti sesetengah pihak. Namun kasih mereka adalah atas kenangan terhadap budi baik Najib yang pernah membantu mereka.

Tidak dinafikan juga bahawa ramai yang gembira dalam menyambut hukuman yang dijatuhkan kepada beliau. Contohnya, lawan politik atau musuh beliau melihat perkara ini sebagai satu kemenangan buat mereka.

Begitu juga kepada mereka yang tidak sehaluan dengan beliau baik secara langsung mahupun tidak langsung. Malah ada juga segelintir masyarakat yang tidak ambil kisah sama sekali.

Walau apapun keadaannya, Najib memang dekat di hati rakyat khususnya orang Melayu dan rakyat bawahan. Walaupun beliau anak seorang bangsawan dan bekas Perdana Menteri Malaysia, beliau tidak sombong malah dianggap sebagai seorang yang mesra, mudah didekati dan prihatin kepada kebajikan rakyat.

Namun apakan daya, bumi mana yang tidak ditimpa hujan. Disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan pada tengah hari. Itulah hakikat kehidupan.

Menyentuh kepada hala tuju dan peranan UMNO dalam kerajaan PN, ia perlu diperhalusi dengan tenang dan matang bukan sahaja di pihak UMNO tapi rakan komponen dalam Perikatan Nasional (PN).

Benar, PN akan berhadapan krisis besar sekiranya UMNO menarik diri. Tidak mustahil perkara itu akan berlaku sekiranya suhu kemarahan dan kekecewaan pemimpin UMNO dan para pendukungnya tidak disantuni dengan baik.

Dalam hal ini, kepimpinan tertinggi parti gabungan PN perlu duduk berbincang dan memperhalusi strategi terbaik untuk memastikan kelangsungan kerajaan PN.

Perbincangan itu perlu ditegaskan bukan untuk menggunakan kuasa politik bagi mengubah keputusan mahkamah tetapi lebih kepada bagaimana memastikan keadilan sebaik-baiknya dapat ditegakkan buat Najib.Sesungguhnya ketika ini sistem kehakiman negara benar-benar sedang diuji. Dengan kata lain barisan panel hakim di Mahkamah Rayuan kelak perlulah mereka yang benar-benar terpuji integriti, arif lagi bijaksana.

Seandainya UMNO tetap bertegas untuk menarik diri daripada gabungan PN, maka kemungkinan untuk mengadakan PRU15 adalah sangat besar.

Tidak dapat dinafikan yang PRU adalah medan terbaik buat semua pihak menyelesaikan kemelut politik dan pemerintahan negara yang masih tidak stabil sejak PRU14 lalu.

Muhyiddin, Najib
Muhyiddin, Najib

Benar, mengembalikan mandat kepada rakyat adalah langkah terbaik buat negara. Namun sekiranya kerajaan PN masih boleh diselamatkan, maka wajarlah ia diusahakan. Di sinilah kebijaksanaan pemimpin Melayu khususnya dalam PN sedang diuji.

Berbalik kepada sistem kehakiman negara, diharapkan ia benar-benar menjadi entiti yang dibanggakan oleh seluruh rakyat dan dikagumi oleh dunia dalam ketelusan menegakkan keadilan buat semua rakyat negara ini.

Kepada mereka khususnya pemimpin yang ‘memusuhi’ Najib, berjiwa besarlah dengan memberi sokongan moral kepada beliau dan berdoalah agar beliau berjaya membersihkan namanya.

Berpuluh tahun kalian mewarnai politik negara, bersahabat, bermusuh dan sebagainya. Pasti ada di sudut hati kalian satu ruang rasa simpati, maka zahirkanlah ketika ada teman dalam kesusahan.

Mudah-mudahan contoh baik yang kalian tunjukkan akan membawa kepada Malaysia yang lebih sejahtera baik dalam berpolitik mahupun hidup bernegara.

*Prof Dr Haim Hilman ialah pensyarah Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan Universiti Utara Malaysia