UMNO rugi besar jika keluar Perikatan Nasional

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto Bernama
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO perlu memberikan tumpuan untuk memperjuangkan nasib rakyat dan negara daripada memperjuangkan pemimpin yang berhadapan dengan kes mahkamah.

Penganalisis politik, Dr Syed Agil Syed Alsagoff berkata, parti itu tidak sepatutnya terlalu emosi dengan mengambil keputusan untuk keluar daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“UMNO patut berdiri sebagai parti politik yang berjuang untuk Melayu dan bukan memperjuangkan Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak), kita tidak mahu parti yang memperjuangkan individu sama ada melibatkan pemimpin atau bekas pemimpin.

“Dulu PKR (Parti Keadilan Rakyat) menyokong kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga apa yang dilakukan Anwar melambangkan PKR,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung masa depan parti itu selepas mahkamah memutuskan Najib bersalah dalam tuduhan salah guna kuasa dan penyelewengan RM42 juta dana milik SRC International.

Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata, UMNO juga tidak seharusnya diheret dengan masalah yang dihadapi oleh pemimpin-pemimpin parti.

“UMNO kena berdiri sendiri dan berfikir untuk menang PRU (Pilihan Raya Umum) akan datang. Adakah UMNO diyakini boleh menang tanpa bantuan parti lain?

“Satu lagi, kuasa bidang kehakiman bukan pada Perdana Menteri kerana ia adalah institusi berkecuali dan tidak dipengaruhi parti politik atau badan eksekutif kerana dalam Perlembagaan Persekutuan telah dipisahkan kuasa perundangan, kehakiman dan eksekutif,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Najib tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur dengan diiringi pengawal keselamatan, pimpinan UMNO dan penyokong beliau.
Najib tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur dengan diiringi pengawal keselamatan, pimpinan UMNO dan penyokong beliau.

Tambah beliau, Ahmad Zahid perlu meneruskan perjuangan dan menumpukan kepada misi pilihan raya akan datang untuk memenangi hati rakyat, bukan terpengaruh kepada kemelut politik pemimpin.

“Kalau mereka keluar daripada PN seolah-olah mereka tidak meyakini kepimpinan kerajaan sekarang. Walaupun kepimpinan sekarang diterajui Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) tetapi anggota Kabinet ialah ahli-ahli parti-parti yang bekerjasama seperti UMNO dan Pas.

“Rugi kalau mereka keluar daripada PN kerana sebagai parti Melayu dan Islam mereka sepatutnya bersatu untuk mentadbir kerajaan,” katanya.

Peluang

Pendapat sama turut dipersetujui Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Tan Sri Abdul Aziz Rahman yang menyuarakan kebimbangan UMNO akan runtuh sekiranya pemimpin parti itu beremosi membuat keputusan keluar daripada kerajaan PN.

Menurutnya, UMNO sepatutnya lebih memikirkan pandangan dan persepsi rakyat terhadap parti itu terutama 3.8 juta pengundi muda yang sedang menantikan impak keputusan mahkamah kes Najib terhadap keutuhan kerajaan PN.

“Negara kita mengamalkan pengasingan bidang kuasa terdiri bidang kehakiman, legislatif dan eksekutif.

“Sekiranya pemimpin UMNO masuk campur bidang lain, rakyat tidak lagi menghormati parti itu terutama golongan muda yang akan mempersoalkan ke mana hala tuju sebenar perjuangan UMNO.

“Kes Najib adalah kes yang terkeluar daripada perjuangan UMNO, bersifat peribadi dan tidak septutnya memberi kesan kepada parti. Jangan kita tersentak dengan satu kes bersifat peribadi kerana perjuangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) masih jauh,” katanya.

Abdul Aziz turut memberi amaran kepada semua pemimpin UMNO bahawa kejayaan parti itu menubuhkan kerajaan PN menerusi kaedah perkongsian kuasa dengan Muhyiddin sebenarnya merupakan ‘peluang kedua’ dianugerahkan ALLAH SWT.Menurutnya, UMNO gagal memanfaatkan peluang pertama diberikan kepada mereka apabila hilang kuasa mentadbir kerajaan selepas kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Kalau kita kaji semula mengapa UMNO dan BN kalah pada PRU14, ini adalah disebabkan faktor kepimpinan negara yang telah tercalar.

“Atas alasan itu, dengan peluang kedua diberikan ALLAH SWT, jangan kita ulangi kesilapan lama kerana UMNO dan BN akan lebih sukar untuk mendapatkan kembali kuasa pentadbiran kerajaan sekiranya mereka sekali lagi hilang kuasa,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik daripada Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff memberi pandangan berbeza dengan menganggap sebarang keputusan UMNO untuk keluar daripada kerajaan PN masih memerlukan ‘kebenaran’ daripada Pas.

Menurutnya, UMNO perlu memberikan alasan lebih kukuh daripada sekadar beremosi kepada Pas kerana Pas merupakan rakan kerjasama politik berdaftar di bawah Muafakat Nasional (MN).

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto Bernama
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto Bernama

“Alasan itu perlu lebih bermaruah daripada sekadar kecewa dengan kegagalan Muhyiddin untuk menjamin Najib daripada disabitkan hukuman di mahkamah, sedangkan sikap berkecuali Muhyiddin adalah bertepatan dengan kehendak orang awam.

“Tambahan pula, saya berpandangan kepimpinan Pas pastinya tidak bersetuju dengan keputusan emosi terbabit yang bakal dilihat sebagai usaha untuk bersekongkol dengan penjenayah yang telah terbukti bersalah.

“Perbuatan itu juga dibimbangi akan menyebabkan mereka kalah dalam pilihan raya akan datang kerana seolah-olah merestui sebarang aktiviti jenayah dalam kalangan pemimpin parti sendiri,” katanya.

Nasib

Kamarul Zaman berkata, keputusan UMNO keluar daripada kerajaan PN juga dirasakan tidak praktikal kerana beberapa ahli Parlimen yang memegang jawatan tinggi kerajaan seperti kumpulan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien tidak akan bersetuju dengan langkah itu.

Menurutnya, alasan beberapa pemimpin UMNO lain yang sedang menghadapi kes di mahkamah termasuk Ahmad Zahid yang dibimbangi bakal menerima nasib sama dengan Najib juga dilihat tidak kukuh.

“Kemungkinan besar hanya sebahagian pemimpin UMNO menyokong Najib dan Ahmad Zahid akan meninggalkan kerajaan PN secara persendirian dengan harapan akan mendorong pemimpin lain meninggalkan PN dan memaksa pilihan raya mengejut diadakan.

“Apa juga keadaan sekalipun, tindakan pemimpin UMNO yang tidak mendapat sokongan Pas akan menyebabkan mereka gagal kerana dengan sokongan Pas membolehkan parti itu mengekalkan momentum kemenangan pada enam Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum ini,” katanya.