Felda, FIC berjaya tentang permohonan penghakiman terus Synergy Promenade

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) berjaya menentang permohonan penghakiman terus yang difailkan oleh sebuah syarikat, Synergy Promenade Sdn Bhd.

Pengarah Besar Felda, Datuk Dr Othman Omar berkata, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menolak permohonan Synergy Promenade untuk memasukkan penghakiman terus terhadap Felda dan FIC dan memerintahkan kos sebanyak RM10,000 kepada Felda dan FIC.

“Antara lainnya mahkamah mendapati bahawa keabsahan perjanjian pembangunan tersebut adalah meragui disebabkan persetujuan menteri yang bertanggungjawab terhadap Felda tidak diperoleh sebelum pelaksanaan perjanjian pembangunan tersebut.

“Persetujuan menteri adalah satu keperluan yang diperuntukkan oleh undang-undang iaitu Seksyen 3(3)(c) Akta Kemajuan Tanah 1956,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Berdasarkan laporan media baru-baru ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 23 Julai lalu menolak permohonan penghakiman terus Synergy Promenade terhadap Felda dan FIC.

SPSB telah memulakan satu tindakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap Felda dan FIC untuk pelaksanaan spesifik Artikel 6.04 Perjanjian Pembangunan bertarikh 2 Jun 2014 antara SPSB dan FIC.

Secara asasnya, SPSB memohon satu perintah terhadap Felda dan FIC untuk menyerah kepada SPSB milikan kosong 23 bidang tanah yang terletak di Jalan Semarak, Kuala Lumpur yang dimiliki oleh Felda.

Felda dan FIC diwakili oleh Kumar Kanagasingam, Mong Chung Seng dan Michele Yee Phui Hwa daripada Tetuan Lee Hishammuddin Allen dan Gledhill.

Artikel Berkaitan: