Felda, FIC berjaya tentang permohonan penghakiman terus Synergy Promenade

SHAH ALAM - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) berjaya menentang permohonan penghakiman terus yang difailkan oleh sebuah syarikat, Synergy Promenade Sdn Bhd.
Pengarah Besar Felda, Datuk Dr Othman Omar berkata, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menolak permohonan Synergy Promenade untuk memasukkan penghakiman terus terhadap Felda dan FIC dan memerintahkan kos sebanyak RM10,000 kepada Felda dan FIC.
“Antara lainnya mahkamah mendapati bahawa keabsahan perjanjian pembangunan tersebut adalah meragui disebabkan persetujuan menteri yang bertanggungjawab terhadap Felda tidak diperoleh sebelum pelaksanaan perjanjian pembangunan tersebut.
“Persetujuan menteri adalah satu keperluan yang diperuntukkan oleh undang-undang iaitu Seksyen 3(3)(c) Akta Kemajuan Tanah 1956,” katanya dalam satu kenyataan di sini.