Tidak ada jalan ‘U-Turn’ selepas lafaz syahadah

No Image Caption
A
A
A

[LAPORAN KHAS] SHAH ALAM - Mendapatkan maklumat dan pemahaman asas mengenai agama Islam merupakan persiapan utama bagi seseorang mualaf yang mahu memeluk agama Islam.

Timbalan Pengarah Unit Perancangan, Penyelarasan dan Pelaksanaan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan, Mohd Yusoff Ahmad berkata, maklumat-maklumat tersebut boleh didapati sama ada melalui kelas-kelas di Perkim, rakan-rakan atau lain-lain sumber.

“Persiapan ini penting bagi mengelakkan seseorang itu masuk Islam kerana atas faktor ikut-ikutan atau terpaksa yang akan menyebabkan masalah berbangkit pada kemudian hari,” kata Mohd Yusoff kepada Sinar Harian di sini baru-baru ini.

Katanya lagi, keputusan memeluk Islam juga harus dibuat secara sukarela.

“Peruntukan masa dengan penuh kesedaran dan tanpa rasa terpaksa kerana selepas melafazkan syahadah tidak ada jalan ‘U-Turn’ lagi bagi seorang mualaf.

Menurutnya, persediaan mental juga penting untuk memeluk Islam kerana ia merupakan titik sejarah yang besar dalam kehidupan seorang mualaf.

“Ada perubahan kecil dan besar dalam rutin kehidupan harian. Mereka perlu bersedia menerima sebarang reaksi keluarga dan rakan-rakan sehingga hal-hal yang berkaitan pekerjaan yang menjadi sumber pendapatan menyara kehidupan,” kata Mohd Yusoff yang berkhidmat di Perkim selama 20 tahun.

Tambah beliau, Perkim berperanan menyokong dan membantu mualaf selepas melafazkan dua kalimah syahadah agar mendapat pendidikan Islam yang sempurna.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Perkim juga memberi sumbangan kebajikan serta sokongan moral yang sewajarnya.

“Antara aktiviti pendidikan dan kebajikan yang dijalankan Perkim termasuk kelas pengajian Islam (asas, pertengahan dan lanjutan).

“Selain itu Perkim juga menganjurkan kursus, seminar dan ceramah pemantapan aqidah dan fardhu ain, program motivasi dan kaunseling, aktiviti lawatan dan riadah, bengkel kemahiran serta pelbagai sumbangan seperti sumbangan perniagaan, makanan asas, Ramadan dan hari raya,” katanya.