Penduduk AS terkejut terima bungkusan benih misteri

Inilah bungkusan benih misteri yang dihantar penduduk di negeri Virginia, Amerika Syarikat. - Foto Jabatan Pertanian Virginia
Inilah bungkusan benih misteri yang dihantar penduduk di negeri Virginia, Amerika Syarikat. - Foto Jabatan Pertanian Virginia
A
A
A

ANNAPOLIS - Sesiapa sahaja pasti akan terkejut apabila menerima surat atau bungkusan pos daripada pihak yang tidak dikenali atau tidak disertakan dengan nama pengirim.

Itulah yang terjadi kepada ratusan penduduk di negeri Maryland dan Virgina, Amerika Syarikat (AS) yang dilaporkan menerima bungkusan benih tanaman yang dihantar melalui pos.

Menurut portal berita Wtop pada 28 Julai lalu, mereka menerima bungkusan benih itu di dalam peti surat yang dipercayai datang dari China.

Justeru, Jabatan Pertanian AS melakukan siasatan bagi mengenal pasti individu yang membuat penghantaran tersebut.

Pihak berkuasa melahirkan rasa bimbang orang ramai mungkin akan menanam benih pokok yang berbahaya.

Benih itu dikhuatiri akan menyebabkan kerosakan kepada manusia dan membawa kehadiran serangga perosak.

Jurucakap Jabatan Pertanian dan Hal Ehwal Awam Virginia, Michael Wallace berkata, pihaknya menerima 900 e-mel dan ratusan panggilan daripada pengguna yang menyatakan mereka menerima bungkusan tersebut.

Bungkusan itu pada mulanya dilaporkan oleh penduduk di Utah beberapa minggu lalu sebelum mendapat perhatian ramai di AS.

Artikel Berkaitan:

Sebahagian daripada penerima mengatakan ia turut mengandungi subang atau rantai leher.

Jabatan Pertanian Maryland mengeluarkan amaran di media sosial bagi meminta penduduk tidak membuka bungkusan benih itu sebaliknya membuat laporan kepada pihaknya.

Penduduk dilaporkan menerima bungkusan benih yang berbeza tetapi setakat ini masih tidak diketahui tentang jenisnya. - Agensi