Sampah dan sikap masyarakat yang tak faham bahasa

Gambar hiasan sampah -Foto 123rf
Gambar hiasan sampah -Foto 123rf
A
A
A

SALAH satu perangai buruk segelintir rakyat Malaysia ialah gemar membuang sampah merata-rata walaupun kemudahan seperti tong sampah telah disediakan. Prasarana kelas pertama tetapi sayangnya mentaliti kelas ketiga!

Sudah lama Merak Jalanan perhatikan tabiat buruk rakyat Malaysia itu.

Baru-baru ini seorang rakan Merak Jalanan mengadu. Dia tinggal di sebuah pangsapuri di tengah bandar Shah Alam. Daripada aspek kejiranan, memang tak ada masalah kerana ramai individu ‘high-class’ tinggal di situ.

Cuma, katanya, tabiat buruk segelintir penduduk suka melonggok sampah di depan bilik sampah ataupun tidak buang sampah dengan cara betul memeningkan kepalanya.

Ada pula yang meletakkan bungkusan sampah di tepi atau atas tong sampah biarpun ruang dalam tong itu masih lagi kosong. Macam mana orang lain hendak buang sampah jika bungkusan sampah sudah diletakkan di atas penutup tong!

Jawabnya, bersepahlah sampah di luar tong sampah. Kesian cleaner apabila terpaksa memasukkan sampah-sampah yang bersepah itu ke dalam tong sampah.

Walaupun notis sudah ditampal di hadapan pintu bilik sampah, masalah itu tetap berlaku. Barangkali notis yang ditampal itu terlalu lembut bunyinya atau terlalu berbudi bahasa. Atau mungkin juga ada yang tidak faham bahasa Melayu sopan.

Jadi Merak Jalanan sarankan kepada rakan itu, tukar notis tersebut kepada ‘Oii monyet... jangan buang sampah di sini lagi!’ atau ‘Tak ada otak ke buang sampah merata-rata!’

Artikel Berkaitan:

Mungkin agak kasar, tetapi bila orang yang tak tahu cara yang betul membuang sampah itu membacanya, mungkin dia akan tersentap dan tidak lagi membuang sampah merata-rata.

Hakikatnya, isu sampah memang tidak pernah ada titik noktahnya apatah lagi apabila ia melibatkan soal sikap.

Barangkali di Malaysia ini ramai jenis tak faham bahasa punya orang!