Kedutaan China nafi Jho Low dilindungi Beijing

Jho Low
Jho Low
A
A
A

SHAH ALAM - Kedutaan Besar China menafikan ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low bersembunyi di Macau dan dilindungi oleh pemerintah negara itu.

Ketua Seksyen Komunikasi dan Media Kedutaan Besar China di Malaysia, Tang Tang berkata, pihak polis China telah menyiasat dengan teliti setiap petunjuk yang relevan daripada Polis Diraja Malaysia dengan penuh ikhlas dan bertanggungjawab.

Malangnya, individu terbabit tidak ditemui dan pihak berkuasa Malaysia telah dimaklumkan mengenai perkara tersebut.

"Tuduhan yang mendakwa pihak berkuasa China melindungi individu terbabit adalah tidak berasas dan tidak boleh diterima.

ARTIKEL BERKAITAN: Ahli Parlimen gesa Jho Low dibawa pulang segera

"Saya ingin mengulangi bahawa China sangat mementingkan kerjasama penguatkuasaan undang-undang dengan Malaysia," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata, Jho Low sah berada di Macau serta dikesan bebas bergerak di Hong Kong dan individu buruan kerajaan Malaysia itu mendapat perlindungan China.

Bagaimanapun, Tang Tang menjelaskan bahawa kedudukan pemerintah China dalam memerangi jenayah adalah konsisten dan jelas.

Artikel Berkaitan:

"China tidak akan pernah melindungi penjenayah asing. Kami akan terus memberikan sokongan dan bantuan kami untuk siasatan lanjut mengenai kes tersebut setelah kami mendapat maklumat lebih lanjut daripada pihak Malaysia," katanya.