Antara cabaran dan peluang

No Image Caption
A
A
A

SEJAK dunia dilanda wabak Covid-19, keadaan tidak bertambah baik. Setakat semalam, lebih 16 juta penduduk dunia terjangkit Covid-19 dan lebih 660,000 maut.

Sementara segelintir negara seperti Malaysia masih dapat mengawal pandemik itu pada paras yang rendah, namun di negara-negara besar seperti Amerika Syarikat (AS), Perancis, Sepanyol, Rusia, Itali, China, Brazil, Mexico dan India, keadaan semakin parah.

Seperti yang sedia maklum, ternyata kesan rentetan Covid-19 sangat meluas terutama ekonomi. Kejatuhan ekonomi yang ditunjukkan dengan pelbagai tanda seperti pengangguran sangat mencemaskan.

Malah di sesetengah negara, ia mencetuskan kemarahan rakyat dan ada kerajaan yang tergugat kerana kebangkitan rakyat yang tidak berpuas hati dengan cara pemimpin negara mengendalikan krisis itu.

Ini berlaku seperti di AS, Israel dan India. Rusuhan tercetus yang menuntut pemimpin meletakkan jawatan. Semua ini adalah cabaran yang dianggap tidak pernah berlaku. Kebanyakan merumuskan situasi luar biasa seperti itu memerlukan tindakan luar biasa.

Cabaran yang paling utama adalah untuk memastikan pandemik itu tidak berterusan serta mencari cara meminimumkannya serta menghasilkan vaksin yang mujarab segera.

Sementara itu cabaran juga berkait dengan mengawal masyarakat awam. Ternyata mengawal pergerakan masyarakat awam bukan mudah. Semua agensi keselamatan dan penguat kuasa terpaksa dikerah.

Juga cabaran yang sangat hangat diperkatakan ialah soal memulihkan ekonomi dunia yang terjejas. Isu sumber, kaedah, mekanisme serta tempuh pemulihan, semuanya terpaksa difikirkan. Dalam kalangan penganalisis ada yang merumuskan krisis ekonomi Depresi Ekonomi Dunia 1928 bakal berulang.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Covid-19 belum dapat dikawal sepenuhnya, dunia terpaksa bersedia berdepan dengan kemungkinan gelombang yang baru tercetus di luar dugaan. Oleh itu langkah siap siaga perlu dilaksanakan.

Masyarakat kini diuar-uarkan dengan istilah normal baharu. Ia merujuk kepada negara dan rakyat perlu melakukan kaedah baharu dalam pelbagai aspek yang selama ini dianggap normal.

Pada hakikatnya harus ada kejujuran dalam kalangan semua pihak. Bahawa selama ini apa yang dianggap normal sebenarnya adalah tidak normal. Iaitu penduduk dunia telah mewujudkan kehidupan moden yang dianggap normal tetapi sebenarnya tidak normal dari segi nilai insan, kelestarian alam, ekonomi yang lebih rasional, kehidupan yang harmoni antara ras dan agama, serta kemapanan demi generasi mendatang.

Apa yang dilakukan atas nama pembangunan dan kemajuan melalui polisi yang digubal adalah tidak normal dengan kesejahteraan masyarakat. Hidup yang terlalu individualistik, materialistik dan komersialistik telah mengakar dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara sebenarnya tidak normal.

Akibatnya kecemburuan sosial, pembaziran, kesenjangan antara kaya dan miskin yang melebar, ketidakadilan, kemusnahan alam, kehilangan dan terhakisnya integriti dan moral pemimpin serta jenayah dan korupsi menjadi gejala normal.

Lantaran itu adakah benar dunia akan melakukan normal baharu atau akan beralih kepada keadaan tidak normal yang baharu.

Pokoknya, Covid-19 telah membawa mesej yang jelas mengenai cara hidup manusia yang seharusnya kembali kepada normal yang sebenar. Ia memberi peluang untuk negara menilai semula cara pengurusan dan model pembangunan yang terlalu bergantung kepada pertumbuhan dan konsumsi tanpa batas.

Inilah masanya peluang warga Malaysia dan seluruh dunia memulihkan alam yang telah dibebankan dengan eksploitasi yang rakus. Seluruh sistem hidup yang tidak peka dengan sensitiviti alam perlu diatur semula agar kembali kepada fitrah. Fitrah manusia dan fitrah alam seharusnya dikembalikan dengan penuh komitmen. Peluang sebenar Covid-19 adalah manusia perlu kembali kepada kewarasan untuk hidup sederhana dan hayati hidup bersama secara harmonis.

**Mohd Azmi Abd Hamid ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu