Kuasa peluru hipersonik Rusia

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KEMENTERIAN Pertahanan Rusia mengesahkan laporan bahawa mereka telah berjaya menguji peluru berpandu hipersonik yang dikenali sebagai ‘Zircon’ yang memiliki kelajuan sehingga 7,400 kilometer sejam melalui kapal frigate Admiral Gorshkov.

Untuk rekod, jarak antara Moscow dengan New York pula adalah sejauh 7,500 kilometer. Hal itu bermakna bahawa Rusia berupaya untuk mengirim peluru berpandu nuklear hipersonik ke kota besar Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh kurang sejam.

Kejayaan Rusia itu menandakan perlumbaan pembangunan peluru berpandu hirpersonik kini semakin sengit dan memasuki medan peperangan di laut pula. Bagaimana kejayaan Rusia itu memberi impak kepada imbangan kuasa antara AS dengan Rusia dalam situasi dunia masih bergelut dengan Covid-19 saat ini?

Perlu diketahui bahawa peluru berpandu Zircon itu juga mengambil masa yang cukup lama untuk dibangunkan iaitu selama 20 tahun. Namun kini, kejayaan Tentera Laut Rusia menguji peluru berpandu hipersonik itu cukup bermakna. Dari segi politik domestik Rusia, Presiden Vladimir Putin kini menerima lonjakan moral yang signifikan sejurus selepas pindaan perlembagaan Rusia pada awal Julai lalu.

Pindaan perlembagaan tersebut yang mendapat sokongan kuat sebesar 77.9 peratus pengundi Rusia menyaksikan Vladimir Putin boleh kekal sebagai Presiden sehingga ke tahun 2036.

Sebelum ini, Rusia sudah pun memiliki peluru berpandu hipersonik Avangard yang berkelajuan lebih 20 kali ganda daripada kelajuan bunyi.

Peluru berpandu hipersonik Zircon ini digelar sebagai ‘Senjata Kiamat’ (Doomsday Weapon); ia bukan sahaja mampu memusnahkan sasaran di laut, tetapi juga di darat dengan karakteristik taktikal dan teknikal yang unik. Tidak hairanlah ramai pakar pengkaji ketenteraan memberi amaran tentang bahaya perlumbaan pembinaan peluru berpandu hipersonik itu kerana ia bukan sahaja cukup pantas dan mendatangkan impak pemusnah yang maksimum, tetapi juga kerana ketepatannya.

Senario itu memberi tekanan secara langsung kepada pentadbiran AS khususnya penyandang pejabat Presiden semasa, Donald Trump. Ditambah dengan tingkah laku beliau dalam menangani isu Covid-19 dan hak warga kulit hitam Amerika, Trump kini berdepan cabaran hebat daripada calon Demokrat dalam Pilihan Raya Presiden yang bakal diadakan pada November tahun ini.

Artikel Berkaitan:

RealitiNamun begitu, meskipun realiti moral politik dan strategik AS kini berada lebih terkebelakang berbanding Rusia dalam perlumbaan senjata hipersonik, Washington masih merupakan kuasa yang diharapkan banyak negara bagi merantai sebuah lagi kuasa besar yang semakin agresif di Asia iaitu China.

Berbeza dengan Rusia yang lebih fokus kepada kepentingan mereka di Asia Barat khususnya Syria dan Iran, AS saat ini bukan sahaja mengalihkan ketumbukan tentera mereka dari Asia Barat ke Asia Timur, malah turut menggandakan latihan demi latihan dan kerjasama demi kerjasama dengan negara seperti Jepun, Korea Selatan, Australia dan India di rantau Indo-Pasifik khususnya di Laut China Selatan.

Situasi itu menjadikan AS sebagai kuasa yang ‘diharapkan’ negara-negara yang dibuli dan diceroboh saban hari oleh China seperti Filipina, Vietnam, Indonesia, dan juga Malaysia – meskipun tidak secara terbuka. Namun seperti mana di peringkat lain, politik dalam arena antarabangsa juga tidak mustahil untuk berubah dalam jangka masa yang tertentu.

Tidak mustahil Rusia kembali berperanan dan berpengaruh di rantau Asia Tenggara dan Laut China Selatan seperti mana pada era Kesatuan Soviet dahulu seandainya keadaan ekonomi mereka mengizinkan dan objektif dasar luar mereka untuk hanya membiarkan Beijing untuk mengimbangi kehadiran Amerika di Pasifik.

Malah Vietnam setakat ini mengoperasikan enam unit kapal selam kelas-Kilo buatan Rusia. Adakah satu hari nanti kita bakal menyaksikan persaingan peluru berpandu Rusia-Amerika-China di Laut China Selatan pula?

* Abdul Muein Abadi ialah Penyelidik PhD di Faculty of Governance and Global Affairs, Leiden University, Belanda