'Najib ada kepentingan peribadi untuk guna SRC bagi faedah sendiri'

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tujuh pertuduhan tuduhan pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram melibatkan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tujuh pertuduhan tuduhan pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram melibatkan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Mahkamah Tinggi memutuskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai kepentingan peribadi untuk menggunakan SRC International Sdn Bhd sebagai wadah bagi kepentingan diri sendiri dengan memanfaatkan kedudukannya serta kawalan beliau terhadap syarikat.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali dalam penghakimannya berkata, pihak pembelaan gagal menggunakan undang-undang untuk menjelaskan fakta-fakta berkaitan dakwaan salah guna kuasa menurut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

“Kepentingan tertuduh di SRC dalam konteks Seksyen 23(1) bukan kawalannya terhadap SRC tanpa lebih daripada itu. Itu semata-mata asas kepada kepentingan,” kata hakim yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib selepas mendapati bekas Perdana Menteri itu bersalah terhadap kesemua tujuh pertuduhan melibatkan penyelewengan RM42 juta dana SRC.

Mohd Nazlan berkata, penglibatan tertuduh dalam mesyuarat Kabinet yang meluluskan jaminan kerajaan bagi pembiayaan RM4 bilion kepada SRC oleh Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) yang kemudian disalurkan dengan cepat kepada SRC secara langsung menyebabkan tertuduh berada di kedudukan untuk mengakses lebih banyak dana syarikat pada bila-bila masa apabila dirasakan perlu oleh tertuduh termasuk RM12 juta yang masuk ke dalam akaun-akaun tertuduh pada lewat 2014 dan awal 2015.

Hakim seterusnya berkata, alasan penglibatan itu ialah motivasi bagi hasrat mendapatkan akses kepada dana yang lebih besar dalam SRC termasuk RM42 juta terbabit.

“Dana RM42 juta yang diterima pada 26 Disember 2014 dan 10 Februari 2015 merupakan penyebab langsung kepada penglibatan tertuduh dalam mesyuarat Kabinet. Jumlah tersebut merupakan ‘gratifikasi’ seperti tuduhan menurut Seksyen 23 Akta SPRM terhadap tertuduh.

“Fakta-fakta dalam perbicaraan ini ialah pihak-pihak yang terlibat ialah kerajaan (Kabinet) dan SRC. Tertuduh mengetuai kerajaan dan juga kepentingan peribadi dalam SRC yang dikawal beliau,” kata hakim itu.

Hakim Mohd Nazlan berkata, kelulusan oleh Kabinet memanfaatkan SRC yang dikawal oleh tertuduh sendiri.

Artikel Berkaitan:

Hakim berkata, tidak perlu ada pengaturan di antara tertuduh dan pihak lain berhubung gratifikasi yang bakal diterima untuk membuktikan kehadiran niat jenayah.

“Harus ditekankan di sini bahawa tertuduh mempunyai kepentingan dalam SRC. Beliau terlibat dalam mesyuarat Kabinet yang meluluskan permohonan SRC untuk mendapatkan jaminan kerajaan.

"Keputusan untuk meluluskan (jaminan kerajaan) secara langsung meletakkan tertuduh di kedudukan yang memberikan akses kepada lebih banyak dana SRC.

“Gratifikasi dari segi manfaat dengan segera menjadi hak tertuduh untuk beliau putuskan bila dana tersebut akan disalurkan bagi kegunaan beliau sendiri,” kata hakim.

Hakim Mohd Nazlan seterusnya berkata, beliau telah menganalisis hujahan mengenai kepentingan negara dan kerelevanan Seksyen 23(4) pada akhir kes pendakwaan.

Katanya, beliau meragui tertuduh boleh dianggap sebagai pegawai di SRC dan wakil kerajaan serta turut mendapati jawapan lengkap kepada hujahan pembelaan mengenai isu itu ialah Seksyen 23(4) tidak boleh diguna pakai dalam kes ini kerana tidak ditunjukkan tindakan yang diambil tertuduh yang membawa kepada keputusan kerajaan untuk meluluskan dua jaminan kerajaan, dibuat demi kepentingan atau faedah kerajaan.

Hakim Mohd Nazlan berkata, pembelaan tertuduh tidak memberikan sebarang perkara baharu yang substantif dan tidak dapat mengubah dapatan di akhir kes pendakwaan bahawa tindakan tertuduh bukan untuk kepentingan negara dan bukti yang dikemukakan itu tidak mewajarkan penggunaan Seksyen 23(4) Akta SPRM.

Menyentuh mengenai apa yang berlaku selepas pembiayaan daripada KWAP disalurkan, hakim berkata, selepas keseluruhan pinjaman RM4 bilion diagihkan kepada SRC, kelakuan tertuduh seperti tidak konsisten dengan pembabitannya sebelum itu.

“Pemeriksaann balas terhadap tertuduh mendedahkan secara jelas beberapa kesimpulan yang tidak membantu pembelaannya.

“Pertama, tiada bukti menunjukkan tertuduh berasa bimbang dengan penggunaan dana yang dipinjamkan kepada SRC oleh KWAP dalam kedua-dua aspek iaitu fakta bahawa wang itu datang daripada tabung persaraan negara iaitu dana awam serta hakikat usaha mempromosikan inisiatif strategik tenaga negara tidak langsung tercapai.

“Ketiadaan tindakan daripada tertuduh untuk mendapatkan semula dana yang dikatakan dibekukan oleh pihak berkuasa Swiss atas dakwaan pengubahan wang juga membingungkan, dan sebaliknya (kelakuan) lebih konsisten dengan kelakuan seseorang yang tidak mahu masalah itu diselesaikan disebabkan keterlibatannya dalam pemindahan secara haram dana itu, seperti yang dibuktikan menerusi minit pemegang saham MOF Inc (Menteri Kewangan Diperbadankan), meskipun beliau mendakwa minit itu palsu,” katanya.

Hakim berkata, adalah jelas menjelang penghujung 2015 SRC berdepan masalah kewangan dan memo MOF bertarikh 4 November 2015 membangkitkan keperluan pembiayaan yang berakhir dengan tiga pinjaman jangka pendek kepada SRC bagi mengelakkan KWAP mengisytiharkan ingkar membayar hutang terhadap SRC yang akan menyebabkan kerajaan dipertanggungjawabkan menerusi jaminannya.

Hakim juga berkata, tertuduh menyokong pinjaman jangka pendek terbabit namun langsung tidak memanggil pengarah-pengarah SRC bagi memberi penjelasan kepada beliau sekalipun berstatus penasihat emeritus dan perdana menteri yang mempunyai kuasa yang luas berdasarkan memorandum dan artikel persatuan syarikat termasuk melantik ahli lembaga pengarah SRC.

“Tertuduh juga tidak bersetuju dengan penegasan bahawa RM4 bilion itu telah hilang dengan menyatakan fakta itu tidak dibuktikan, sedangkan tertuduh sendiri tidak mengemukakan sebarang bukti untuk menunjukkan beliau mengambil langkah-langkah bagi mendapatkan kepastian tentang apa yang sebenarnya berlaku terhadap dana itu.

“Selain itu, tertuduh juga tidak dapat memberikan jawapan yang jelas sama ada beliau berpuas hati dengan kemajuan SRC selepas agihan pertama berjumlah RM2 bilion sebelum bersetuju untuk menyokong pinjaman kedua berjumlah RM2 bilion hanya dalam tempoh enam bulan selepas pinjaman pertama,” katanya.

Hakim juga berkata, tertuduh mendakwa beliau ada bertanya dan diberitahu wang terbabit diketepikan untuk keperluan pelaburan segera namun tidak bertanya sama ada wang pinjaman masih dalam bentuk tunai.

Hakim Mohd Nazlan berkata, menurut tertuduh, perkara itu adalah di bawah tanggungjawab lembaga pengarah untuk menyelia dan tertuduh juga tidak bersetuju bahawa ada tuntutan bagi syarikat mengemas kini status penyaluran pinjaman pertama yang diperoleh menerusi jaminan kerajaan apabila cadangan jaminan kerajaan yang kedua dibentang pada mesyuarat Kabinet.

“Sekali lagi saya sukar untuk memahami perkara ini kerana sumber pembiayaan adalah dana persaraan dan jumlah yang terlibat sangat besar.

“Sehubungan itu, dalam penghakiman saya, selepas memeriksa pembelaan tertuduh dan menimbang semua pembelaan dalam kes ini, saya dapati pembelaan gagal menyangkal sangkaan menurut Seksyen 23(2) Akta SPRM mengenai keseimbangan kebarangkalian atau menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan dari segi tuduhan ke atas tertuduh mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM,” katanya. - Bernama