X

Kindly register in order to view this article
!

Lembu redah sungai Golok menjelang Aidiladha

Antara lembu yang berjaya ditangkap oleh anggota penguat kuasa yang bertugas di sempadan Malaysia-Thailand.
A
A

RANTAU PANJANG - Hanya 15 minit sahaja diperlukan untuk mendaratkan seekor lembu seludup dari Thailand masuk ke negara ini menggunakan laluan tikus yang terdapat di sepanjang sungai Golok di sini.

Kerja-kerja mendaratkan lembu itu menjadi lebih rancak setiap kali umat Islam menyambut Hari Raya Aidiladha.

Perkara itu didedahkan sendiri oleh seorang penyeludup yang dikenali sebagai Mat Yeh, 39.

Mat Yeh berkata, seminggu menjelang Aidiladha dia dan anak-anak buahnya tidak menang tangan untuk membawa masuk lembu seludup bagi memenuhi permintaan orang ramai termasuklah pengusaha-pengusaha haiwan tersebut.

Selain lembu, biri- biri dan kambing turut diseludup.
Selain lembu, biri- biri dan kambing turut diseludup.

"Harga lembu Thailand yang diseludup lebih murah berbanding lembu tempatan yang dibela secara persendirian atau dalam skala besar.

"Boleh dikatakan harganya separuh lagi murah dan ini memberikan keuntungan yang besar kepada pengusaha dan penjimatan wang kepada pembeli," katanya.

Upah lumayan jadi pembakar semangat

Mat Yeh tanpa berselindung mendedahkan upah lumayan merupakan 'tonik' berharga buat dia dan rakan-rakannya untuk melakukan pekerjaan itu.

Katanya, meskipun berdepan risiko namun tetap bersemangat melakukan tugas tersebut dengan penuh berhati-hati.

"Saya memperoleh upah RM70 untuk setiap ekor lembu yang berjaya didaratkan dengan sempurna ke negara ini," katanya.

Mat Yeh berkata, dalam satu-satu masa dia dan rakan boleh mendaratkan sekitar 50 ekor lembu.

Renang 'teknik' seludup lembu

Mat Yeh berkata, dia menggunakan teknik 'renang' untuk membawa masuk haiwan itu ke negeri ini menerusi sungai Golok.

Katanya, sebelum lembu itu berenang ia dan rakan-rakan akan memasang tali yang diikat pada pokok merentangi sungai Golok yang lebarnya hanyalah sekitar 12 meter.

Lebar sungai Golok yang hanyalah sekitar 12 meter memudahkan urusan penyeludupan dilakukan.
Lebar sungai Golok yang hanyalah sekitar 12 meter memudahkan urusan penyeludupan dilakukan.

"Kami kemudiannya akan melepaskan setiap ekor lembu untuk berenang sambil dikawal oleh ahli kumpulan yang berpaut pada tali untuk memastikan haiwan itu tidak hanyut.

"Jika tiada gangguan sekitar 12 jam kami sudah boleh mendaratkan kesemua lembu itu yang kemudiannya diletakkan di satu tempat sebelum ada pihak lain akan datang mengambil untuk dimuat ke dalam lori," katanya.

Mat Yeh berkata, keadaan cuaca turut mempengaruhi gerak kerja membawa masuk lembu-lembu itu.

"Jika hujan maka airnya deras dan sedikit dalam manakala jika panas terik airnya tenang dan cetek kadangkala hanya dengan berjalan kaki sahaja mereka menyeberangi sungai tersebut," katanya.

Penyeludup suka tukar taktik

Pegawai Pemerintah Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan, SuperintendAn Azhari Nusi yang sering melakukan penugasan di sempadan Malaysia-Thailand (Kelantan) khususnya di sungai Golok mendedahkan penyeludup lembu sanggup menukar taktik menyeludup.

Azhari Nusi
Azhari Nusi

Katanya, penukaran taktik itu bertujuan mengaburi mata anggota penguat kuasa untuk memastikan kegiatan haram mereka gagal dikesan.

"Antara taktik yang pernah saya lihat digunakan oleh penyeludup lembu, mereka sanggup menutup permukaan laluan haiwan itu menggunakan plastik.

"Tujuannya untuk mengelakkan tapak kaki haiwan itu dikesan oleh anggota penguat kuasa sempadan.

Pasukan PGA Briged Tenggara turut diberikan tanggungjawab untuk melakukan penugasan menjaga sempadan.
Pasukan PGA Briged Tenggara turut diberikan tanggungjawab untuk melakukan penugasan menjaga sempadan.

"Namun berpandukan kepada pengalaman, kami berjaya menghidu taktik tersebut," katanya.

Azhari berkata, PGA Briged Tenggara yang diberikan mandat mengawal sempadan negara di negeri Kelantan sentiasa fokus dalam membendung jenayah rentas sempadan termasuklah penyeludupan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!