Md Dali ganti Subkhiddin

Timbalan-timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Yusof Mahadi (tengah) dan Datuk Seri Subahan Kamal (kiri) ketika sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM kali ke-6 bagi penggal 2017-2021. - Foto Bernama
Timbalan-timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Yusof Mahadi (tengah) dan Datuk Seri Subahan Kamal (kiri) ketika sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM kali ke-6 bagi penggal 2017-2021. - Foto Bernama
A
A
A
EXCO Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Asisten Komisioner Md Dali Wahid dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM yang baharu bagi menggantikan Subkhiddin Salleh yang melepaskan jawatan berkenaan, baru-baru ini.

Keputusan berkenaan dicapai pada Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM kali keenam bagi sesi 2017-2021 yang dipengerusikan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin di Seri Kembangan dekat sini, semalam.

Timbalan Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, pelantikan Md Dali dipersetujui anggota exco FAM setelah Subkhiddin kekal dengan keputusan untuk melepaskan jawatan disandangnya dalam badan induk berkenaan termasuk jawatan exco.

"Datuk Hamidin sudah mengadakan beberapa siri perbincangan dengan Subkhiddin sebelum ini, namun beliau kekal dengan keputusannya melepaskan jawatan dalam FAM.

"Jawatankuasa Eksekutif FAM menghormati keputusan Subkhiddin dan kita akan meminta ahli gabungan untuk mencadangkan nama pada Kongres Tahunan FAM selepas ini bagi menggantikan kekosongan yang ditinggalkan Subkhiddin,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat berkenaan.

Subkhiddin sebelum ini membuat keputusan mengejut dengan melepaskan kesemua jawatan yang disandang dalam badan induk berkenaan termasuk jawatan exco berkuat kuasa serta merta pada awal bulan ini.

Beliau dilaporkan membuat keputusan berkenaan susulan kecaman hebat daripada netizen terhadap ahli keluarganya berikutan pengadilan yang lemah oleh Suresh Jayaraman ketika aksi final Piala Malaysia 2018 antara Perak dan Terengganu FC (TFC) pada 27 Oktober lepas.

Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid sebelum ini, dilaporkan mendesak Subkhiddin meletak jawatan selepas Jayaraman gagal menjalankan tanggungjawab dengan baik.

Jayaraman membuat beberapa keputusan kontroversi termasuk membatalkan dua gol Perak pada aksi final Piala Malaysia itu yang dikatakan sebagai jaringan sah.
Artikel Berkaitan:


Perak muncul juara Piala Malaysia 2018 setelah mengatasi TFC 4-1 menerusi penentuan sepakan penalti. Kedua-dua pasukan terikat 3-3 pada aksi penuh perlawanan. - Bernama