Lelaki menipu dapatkan biasiswa, gelaran Datuk ditahan

No Image Caption
A
A
A

KLANG - Kegiatan menipu seorang lelaki yang kononnya mampu mendapatkan biasiswa selain anugerah gelaran anugerah Datuk serta kereta lelong dari Istana Pahang terbongkar selepas diberkas polis semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, suspek berusia 37 tahun yang turut mengaku dirinya seorang Datuk itu ditahan di sekitar Masai, Johor kira-kira jam 9.15 pagi.

Menurutnya, dalam serbuan itu polis merampas enam kad mesin juruwang automatik (ATM), sekotak kad perniagaan tertera nama Datuk dan dua telefon bimbit.

Katanya, penahanan dilakukan susulan laporan polis yang dibuat mangsa yang mengalami kerugian RM65,000 akibat diperdaya suspek sejak 10 Mei lalu.

"Ketika itu, suspek telah menghubungi mangsa yang merupakan seorang konsultan keselamatan dengan memperkenalkan diri sebagai Datuk dari Pahang.

Suspek memberitahu mampu membantu mangsa untuk mendapatkan biasiswa daripada sebuah persatuan untuk menampung pengajian dua anak lelakinya.

"Mangsa yang berminat kemudian diminta membuat pembayaran berjumlah RM2,500 ke dalam akaun diberikan suspek dengan dijanjikan menerima surat tawaran tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Nurulhuda berkata, selepas itu suspek menghubungi mangsa semula dengan menawarkan gelaran Datuk dan kereta lelong dari Istana Pahang.

Artikel Berkaitan:

Katanya, mangsa yang terpedaya dengan janji suspek kemudian telah membuat pembayaran secara berperingkat berjumlah RM62,500 ke dalam beberapa akaun bank yang diberikan suspek.

"Bagaimanapun mangsa tidak memperoleh apa yang dijanjikan sebelum membuat laporan polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Tambahnya, suspek yang menetap di Melaka dan memiliki 24 rekod jenayah melibatkan kes penipuan itu kini direman selama tiga hari untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.