Negeri Sembilan tunai manifesto PRU14

Aminuddin (dua dari kiri) pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di Wisma Negeri hari ini.
Aminuddin (dua dari kiri) pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di Wisma Negeri hari ini.
A
A
A

SEREMBAN - Negeri Sembilan menjadi negeri pertama di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang menunaikan janji menukar status tanah perumahan daripada pajakan kepada hak milik kekal seperti mana dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, sebagai permulaan permohonan terbuka kepada dua kawasan iaitu Taman Marida, Senawang dan Gedung Lalang 162, Ampangan.

"Menjadi sejarah buat kerajaan Negeri Sembilan kerana kita telah luluskan empat daripada sembilan permohonan menukar status tanah dari pajakan kepada hak milik kekal.

"Tiga di Taman Marida dan satu di Gedung Lalang 162 yang mana pemiliknya berusia 51,55 dan 78 tahun," katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.

Sehubungan itu beliau menyeru penduduk di kedua-dua kawasan berkenaan untuk membuat permohonan segera di Pejabat Tanah dan Daerah supaya proses pertukaran dapat berjalan lancar.

Aminuddin berkata, buat masa ini tiada had tempoh permohonan ditetapkan dan selepas ini akan dibuat di kawasan lain pula secara berperingkat.

"Dua taman ini adalah 'pilot project'. Kita nak lihat bagaimana proses dan pelaksanaannya. Diharap mereka yang layak dapat mohon kerana ini peluang baik buat mereka.

"Jika berjalan lancar selepas itu baru kita akan buat di tempat lain. Akan ada jadual disediakan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ketika mengulas mengenai tuntutan RM10 juta Parti Keadilan Rakyat (PKR) kepada 20 Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang keluar parti Aminuddin berkata, beliau mengalu-alukannya.

Katanya, ia amat baik kerana wang diterima daripada tuntutan itu boleh digunakan untuk dana PRU15 nanti.