X

Kindly register in order to view this article
!

Elak cetus gelombang kedua Covid-19 ketika membeli-belah

Orang ramai sekali lagi dinasihatkan agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika sibuk membeli-belah dalam membuat persiapan perayaan.
A
A

KUALA LUMPUR - Berbaki dua hari lagi untuk menyambut sambutan Aidiladha, orang ramai sekali lagi dinasihatkan agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika sibuk membeli-belah dalam membuat persiapan perayaan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, kawalan kendiri memainkan peranan penting bagi mengelakkan tercetusnya gelombang kedua Covid-19, terutamanya semasa orang ramai sibuk membeli-belah untuk persiapan Aidiladha.

“Orang ramai perlu beringat bahawa pandemik Covid-19 masih belum berakhir. Kita akan menyambut perayaan Aidiladha dua hari lagi, ketika tinjauan saya tadi, saya nampak premis perniagaan mempamerkan harga diskaun dengan pelbagai promosi lain.

“Kita sedia maklum bahawa ketika ini orang ramai tidak boleh membeli belah seperti kebiasaan iaitu datang beramai-ramai, bersesak kerana pandemik Covid-19 masih belum berakhir,” katanya selepas merasmikan kempen Jualan Malaysia 2020 di pusat beli-belah, Sogo di sini hari ini.

Terdahulu beliau mengadakan walkabout di premis perniagaan Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) bagi meninjau persiapan peniaga untuk sambutan Aidiladha kali ini.

Sementara itu merujuk kepada pembatalan Program Subsidi Petrol (PSP) bersasar, Nanta berkata, rakyat tidak perlu khuatir dengan keputusan kerajaan untuk tidak meneruskan program dan harga komoditi itu masih di tahap yang terkawal iaitu di bawah paras RM 2.08 seliter.

"Buat masa sekarang harga minyak masih lagi terkawal. Rakyat tidak perlu risau terhadap program subsidi yang dibatalkan kerana kami sebagai kerajaan prihatin terhadap keluhan mereka dan akan melakukan yang terbaik," katanya.

Pada 18 Disember tahun lepas, Kabinet memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan PSP hingga ke suatu tarikh yang akan diumumkan kemudian, dan hari ini Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid semasa di Parlimen dilaporkan berkata, keputusan membatalkan pelaksanaan PSP dimuktamadkan dalam mesyuarat bersama KPDNHEP dengan Kementerian Kewangan pada 9 Julai lepas.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!