Lanjut moratorium bersasar bukti kesungguhan kerajaan bantu rakyat

Adnan Mat
Adnan Mat
A
A
A

SHAH ALAM - Pengumuman lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar khusus kepada golongan yang benar-benar memerlukan membuktikan kesungguhan kerajaan untuk membantu rakyat yang masih terjejas akibat penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

Pengerusi Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Adnan Mat berkata, pihaknya menyambut baik langkah diambil itu dan memuji komitmen bank-bank serta institusi kewangan di negara ini yang turut sanggup bersama kerajaan dalam mengharungi waktu sukar.

Namun menurutnya, Cuepacs berharap agar proses pemberian moratorium dan bantuan bersasar ini tidak dirumitkan dengan kerenah birokrasi yang akan menyulitkan rakyat.

"Cuepacs mencadangkan agar Bank Negara menetapkan satu standard yang boleh dan perlu diguna pakai oleh semua bank serta institusi kewangan di negara ini.

"Langkah ini wajar bagi memastikan tiada syarat atau kerenah birokrasi dilakukan oleh institusi kewangan tanpa pengetahuan kerajaan hingga menyulitkan rakyat," katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Selain itu beliau berkata, pemberian moratorium dan bantuan bersasar ini perlu mengambil kira keseluruhan pendapatan isi rumah dan bukan individu yang mempunyai pinjaman sahaja bagi memastikan ia memberi manfaat yang menyeluruh kepada rakyat.

Menurutnya, ini kerana mereka yang kehilangan pekerjaan atau terjejas pendapatan tidak semestinya memiliki pinjaman kerana pasangan mereka yang melakukan pinjaman tersebut tetapi pembayaran dilakukan secara bersama.

"Sebagai contoh, Ali seorang penjawat awam manakala isterinya Julia bekerja di sektor swasta. Kedua-dua mereka memiliki sebuah kereta dan rumah melalui pinjaman yang dibuat Ali tetapi dibayar secara bersama.

Artikel Berkaitan:

"Semasa negara dilanda pandemik Covid-19, Julia kehilangan kerja, sementara suaminya penjawat awam masih bekerja seperti biasa. Dalam hal ini Ali wajar diberikan lanjutan moratorium dan bantuan bersasar kerana pendapatan isi rumah mereka terjejas," katanya.

Justeru katanya, Cuepacs berharap pertimbangan ini wajar diberi perhatian oleh kerajaan dan institusi kewangan.

Dalam perkembangan sama, Adnan berharap semua rakyat kekal memberikan kerjasama kepada kerajaan dalam memastikan penularan Covid-19 di negara ini dapat ditamatkan.

"Hargailah pengorbanan barisan petugas hadapan yang berpenat lelah selama ini demi memastikan keselamatan negara. Jagalah penjarakan sosial serta kebersihan keluarga masing-masing.

"Kita tidak mahu lagi mengharungi PKP seperti sebelum ini kerana ia akan memberi kesan yang sangat teruk kepada negara dan rakyat," katanya.