Pulau Pinang catat kadar kelahiran terendah

Mohd Uzir (lima dari kanan) bersama Kon Yeow dan barisan Exco Kerajaan Pulau Pinang memegang poster Banci 2020 di Pejabat Ketua Menteri tadi.
Mohd Uzir (lima dari kanan) bersama Kon Yeow dan barisan Exco Kerajaan Pulau Pinang memegang poster Banci 2020 di Pejabat Ketua Menteri tadi.
A
A
A

GEORGETOWN - Pulau Pinang adalah negeri yang mencatatkan kadar kelahiran terendah iaitu 1.3 anak bagi setiap wanita berusia antara 15 hingga 49 tahun di negara ini pada 2018.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, selain Pulau Pinang, Sabah, Melaka dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur juga antara yang terendah iaitu di bawah kadar 2.1 anak bagi setiap wanita berusia antara 15 hingga 49 tahun.

Menurutnya, secara keseluruhannya kadar kelahiran di Malaysia pada dua tahun lalu adalah 1.8 anak bagi setiap wanita berumur antara 15 hingga 49 tahun iaitu menurun daripada 1.9 anak pada 2017.

"Selain Pulau Pinang, Sabah mencatatkan kadar 1.4, Melaka (1.9) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (1.5). Semua negeri yang mencatatkan kadar di bawah 2.1 adalah negeri bawah kadar penggantian ibu bapa.

"Sementara itu, bagi negeri yang mencatatkan kadar kelahiran tertinggi adalah Kelantan (3.0); Wilayah Persekutuan Putrajaya (2.6), Kedah (2.2) dan Johor (2.1)," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Ketua Menteri, Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) tadi.

Turut hadir, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan beberapa barisan Exco Kerajaan Pulau Pinang bagi menyempurnakan Majlis Pelancaran Banci Malaysia 2020 Peringkat Pulau Pinang.

Mohd Uzir yang juga Pesuruhjaya Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 berkata, dijangka 1.8 juta penduduk negeri ini terlibat dengan pelaksanaan bancian bagi tahun ini.

Menurutnya, pelaksanaan bancian itu akan melibatkan 5,851 petugas dan 812 penyelia.

Artikel Berkaitan:

"Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) akan menjalankan bancian secara dua fasa iaitu fasa pertama dengan kaedah e-Census bermula 7 Julai hingga 30 September. Kaedah ini memerlukan responden mengisi maklumat banci secara dalam talian melalui Portal Banci.

"Sementara bagi fasa kedua pula melibatkan kaedah temubual bersemuka yang akan bermula 7 hingga 24 Oktober depan. Tahun ini sebanyak 108 soalan yang perlu dijawab berbanding 10 tahun lalu iaitu hanya 50 soalan. Ia bagi mendapatkan maklumat yang jitu," katanya.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri memohon semua rakyat Pulau Pinang memberi kerjasama dalam menjayakan Banci 2020.

"Dalam usaha kerajaan negeri melaksanakan pembangunan negeri berpandukan Visi Penang2030, kejituan statistik amat penting agar semua polisi dan keperluan semasa yang dilaksanakan lebih proaktif serta responsif.

"Maklumat yang dibekalkan akan mencorakkan kehidupan generasi akan datang yang bakal mengemudi negeri ini ke satu tahap lebih baik," katanya.