X

Kindly register in order to view this article
!

Takut sampai terkencing!

Kerana takut, lelaki (kiri) terkencing dalam seluar selepas ditahan pasukan AADK di rumah bersama adiknya. - Foto AADK Besut
A
A

BESUT – Seorang lelaki terkencing dalam seluar kerana takut dan terkejut dengan kehadiran sepasukan anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Besut di rumahnya di Hulu Besut pada jam 3 pagi tadi.

Lelaki berumur 32 tahun dan bekerja kampung itu pada mulanya tergamam selepas pasukan AADK masuk ke rumahnya dan mula menggigil ketakutan sebelum terkencing dalam seluar apabila ditahan.

Ketua Pegawai AADK Besut, Noor Hafizza Mat Zin berkata, suspek yang mengaku sudah dua tahun mengambil pil kuda ditangkap bersama adik lelakinya berusia 25 tahun atas kesalahan sama.

“Dua beradik ini antara lima suspek yang berjaya ditahan dalam Operasi Cegah melibatkan sembilan anggota AADK di sekitar kawasan Hulu Besut, Jerteh dan Kuala Besut bermula jam 2 pagi tadi.

“Semua suspek berusia antara 25 hingga 32 tahun kemudian dibawa ke Pejabat AADK Besut untuk dijalankan ujian saringan urin,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Suspek yang bersembunyi dalam almari pakaian diminta keluar anggota AADK Besut. - Foto AADK Besut
Suspek yang bersembunyi dalam almari pakaian diminta keluar anggota AADK Besut. - Foto AADK Besut

Nor Hafizza berkata, dalam operasi sama seorang pesawah bertindak menyorok dalam almari baju ibunya bagi mengelak daripada dicekup selepas menyedari kehadiran AADK di rumahnya di Hulu Besut.

Bagaimanapun menurutnya, taktik lelaki yang merupakan anak ketiga dari enam beradik itu tidak berjaya dihidu apabila dia ditemui bersembunyi di sebalik baju dalam almari tersebut.

“AADK tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk penyalahgunaan dadah dan operasi seumpama itu akan diteruskan dari masa ke masa. Kita juga mengharapkan maklumat orang ramai,” katanya.

Katanya, semua suspek disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983, Pindaan 1998.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus