Ramai peminjam individu, PKS tidak ambil moratorium: PM

Muhyiddin Yassin. - Foto Bernama
Muhyiddin Yassin. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan berlaku peningkatan jumlah peminjam bagi kategori individu serta peminjam perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang tidak mengambil kemudahan moratorium bayaran pinjaman yang diberikan kerajaan.

Beliau berkata, pihaknya percaya ia susulan pembukaan ekonomi secara berperingkat pada bulan Mei yang lalu dan kemudiannya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), aktiviti ekonomi di seluruh negara dilihat semakin rancak.

Dengan itu menurutnya, ada individu dan perniagaan yang mampu membayar semula pinjaman mereka.

"Jumlah peminjam individu yang meneruskan bayaran pinjaman dan tidak mengambil kemudahan moratorium meningkat daripada 331,000 peminjam pada bulan April kepada 601,000 peminjam pada bulan Julai 2020.

"Sementara itu, untuk tempoh yang sama jumlah peminjam PKS yang memilih untuk tidak mengambil kemudahan ini turut meningkat daripada 5,000 kepada 13,000 peminjam," katanya menerusi Pengumuman Lanjutan Moratorium dan Bantuan Bank Bersasar hari ini.

Sebelum ini berkuatkuasa pada 1 April lalu, moratorium bayaran pinjaman telah sedikit sebanyak membantu rakyat dan perniagaan ekoran terhentinya hampir kesemua aktiviti ekonomi dalam usaha memerangi penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Menurut data daripada Bank Negara Malaysia sehingga 20 Julai2020, lebih 7.7 juta peminjam individu atau 93 peratus daripada kesemua peminjam telah mendapat manfaat daripada moratorium bayaran pinjaman yang bernilai RM38.3 bilion.

Pada tempoh yang sama, sejumlah 243,000 PKS atau 95 peratus daripada keseluruhan peminjam PKS telah menerima manfaat daripada moratorium ini dengan nilai RM20.7 bilion.

Artikel Berkaitan: