X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 26 Jun 2022

Kerajaan setuju lanjut tempoh moratorium bersasar

Muhyiddin - Foto fail
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Kerajaan Perikatan Nasional bersetuju untuk melaksanakan Lanjutan Moratorium dan Bantuan Bank Bersasar yang lebih fokus kepada golongan benar-benar memerlukan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, golongan itu pertamanya, bagi individu yang kehilangan pekerjaan pada tahun ini dan masih belum mendapat pekerjaan baharu akan menikmati moratorium lanjutan bersasar bagi tempoh tiga bulan.

Selepas tiga bulan menurutnya, tempoh moratorium boleh dilanjutkan oleh bank-bank bergantung kepada situasi individu masing-masing.

“Kedua, bagi individu yang masih bekerja tetapi gaji mereka terjejas atau berkurangan akibat koronavirus (Covid-19), bayaran ansuran bulanan akan dikurangkan selaras dengan kadar pengurangan gaji, bergantung kepada jenis pinjaman.

“Contohnya, bagi pinjaman perumahan atau pinjaman peribadi, bayaran ansuran bulanan akan dikurangkan pada kadar yang sama dengan pengurangan gaji.

“Bantuan ini adalah untuk tempoh sekurang-kurangnya enam bulan dan lanjutan boleh diberikan tertakluk kepada keadaan gaji semasa individu berkenaan,” katanya ketika pengumuman lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar yang disiarkan secara langsung di saluran televisyen hari ini.

Di samping itu Muhyiddin berkata, bank telah memberikan komitmen untuk membantu semua peminjam individu atau perusahaan kecil dan sederhana (PKS) atau yang bekerja sendiri.

Namun menurutnya, ia bergantung kepada situasi peminjam dengan bantuan yang ditawarkan termasuk membayar faedah sahaja untuk suatu jangka masa ditetapkan.

“Memanjangkan tempoh keseluruhan pinjaman bagi mengurangkan pembayaran balik bulanan atau memberi pelepasan lain sehingga peminjam mencapai kedudukan kewangan yang lebih stabil.

“Bagi pinjaman sewa beli pula, pihak bank akan turut menawarkan pilihan penjadualan ansuran yang bersesuaian tertakluk kepada Akta Sewa Beli

“Contohnya, memanjangkan tempoh bayaran balik pada kadar ansuran bulanan lebih rendah,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, langkah itu dijangka memanfaatkan tiga juta individu dan PKS namun sekiranya lebih ramai memerlukan bantuan, institusi perbankan telah memberikan komitmen untuk mempertimbangkan bantuan sewajarnya.

Justeru menurutnya, peminjam yang layak boleh menghubungi bank masing-masing untuk membuat permohonan mulai 7 Ogos ini.

Tambah Muhyiddin, keputusan lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar itu dibuat kerajaan selepas mendengar rintihan rakyat.

Sehubungan itu beliau berharap ia akan dapat meringankan beban rakyat yang terjejas dengan masalah ekonomi akibat pandemik Covid-19.

“Keputusan yang dibuat oleh kerajaan ini dengan kerjasama institusi perbankan di negara kita diharapkan dapat menyokong kemampanan perniagaan, membantu usaha memulih serta melonjakkan semula ekonomi negara dan menjamin kesejahteraan hidup anda semua.

“Dengan pengumuman ini, saya harap Mak cik Kiah, Pak Salleh, Encik Lee, Puan Rani, Encik Douglas dan semua rakyat Malaysia dapat menarik sedikit nafas lega sementara kerajaan dan pihak industri berusaha memulihkan semula ekonomi negara,” katanya.

Kerajaan pada Mac lalu mengumumkan pelaksanaan moratorium bayaran balik pinjaman selama enam bulan bermula April sehingga September ini.

Langkah itu diambil bagi membantu rakyat yang terjejas akibat pandemik koronavirus (Covid-19) apabila kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Hingga 20 Julai lalu, nilai moratorium sebanyak RM38.3 bilion diberikan yang memberi manfaat kepada lebih 7.7 juta rakyat di negara ini atau 93 peratus daripada peminjam individu manakala RM20.7 bilion untuk 243,000 perusahaan keci dan sederhana (PKS).


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!