Zahid Hamidi beri bayangan UMNO mungkin keluar PN

Ahmad Zahid beri bayangan UMNO mungkin keluar daripada PN menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.
Ahmad Zahid beri bayangan UMNO mungkin keluar daripada PN menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membayangkan parti itu mungkin keluar daripada gabungan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ahmad Zahid berkata, sebarang perkongsian yang dilakukan harus diperhalusi semula apabila keikhlasan dan kejujuran diketepikan.

"Untuk berkongsi hidup, apatah lagi berkongsi kuasa, keikhlasan dan kejujuran merupakan prinsip utama perkongsian.

ARTIKEL BERKAITAN: UMNO akur keputusan mahkamah, kata Zahid

"Apabila keikhlasan dan kejujuran diketepikan, sebarang perkongsian harus dinilai semula," katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Hantaran yang dibuat Ahmad Zahid itu turut diakhiri dengan tanda pagar #UMNObangkit selain beliau turut berkongsi sekeping foto ketika berada di masjid seakan-akan memberi maksud tersirat meminta petunjuk ALLAH SWT untuk melakukan keputusan besar.

Semalam, bekas Timbalan Perdana Menteri itu dilaporkan berkata, UMNO akan mengambil keputusan politik yang besar berikutan keputusan Mahkamah Tinggi mensabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak atas tujuh tuduhan penyelewengan wang berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Najib yang juga bekas bos dan sahabat Ahmad Zahid dijatuhkan hukuman penjara 72 tahun dan denda RM210 juta.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Ahmad Zahid meminta ahli UMNO berlapang dada dan berfikiran terbuka dengan apa juga keputusan yang dibuat oleh parti.

Kenyataan terbaharu Ahmad Zahid itu seolah-olah memberi petanda yang kian jelas bahawa UMNO akan meninggalkan PN yang diterajui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perkembangan terbaharu kes membabitkan bekas Presiden UMNO itu yang jelas menunjukkan parti itu kecewa dengan keputusan kehakiman tersebut.

PN yang ditubuhkan Mac lalu selepas tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) dibentuk hasil kerjasama UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas serta disokong oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Bersatu Sabah (GBS) serta wakil bebas.

Perkembangan itu juga dijangka menjadikan situasi politik negara akan kembali dramatik kerana mungkin berlaku Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam masa terdekat rentetan keputusan besar yang akan dilakukan UMNO.