'Parlimen Sabak Bernam tetap kubu kuat UMNO'

Abd Rahman Bakri
Abd Rahman Bakri
A
A
A

SABAK BERNAM - UMNO Bahagian Sabak Bernam sebulat suara mahu kerusi Parlimen Sabak Bernam menjadi milik parti itu dengan meletakkan calon UMNO pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15).

Ketuanya, Datuk Dr Abd Rahman Bakri berkata, Parlimen Sabak Bernam sememangnya merupakan kubu kuat parti itu sejak dahulu lagi sebelum penyandangnya, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh keluar UMNO dan menyertai Bersatu.

"Semua kepimpinan UMNO Bahagian Sabak Bernam berpendirian, kerusi Parlimen Sabak Bernam ini mestilah dikembalikan semula kepada UMNO," katanya kepada Sinar Harian.

Abd Rahman berkata, beliau berterima kasih kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar yang menegaskan parti itu akan meletakkan calon di mana-mana kerusi dimenangi UMNO pada PRU-14 lalu.

"Walaupun calon yang menang keluar daripada UMNO, tetapi kerusi itu mestilah diserahkan semula kepada parti ini pada PRU-15," katanya.

Ditanya mengenai kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang memaklumkan UMNO boleh mengubah semula keputusan pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada parti pada 2016, Abd Rahman berkata, keputusan itu diserahkan kepada pucuk tertinggi parti.

"Kita mengalu-alukan tiada masalah jika Muhyiddin ingin sertai UMNO, tetapi keputusan sama ada beliau (Muhyiddin) diterima atau pun tidak, kita serahkan kepada pucuk pimpinan tertinggi parti.

"Kami di peringkat bawah menyokong apa sahaja keputusan kepimpinan terutama sekiranya Muhyiddin ikhlas mahu kembali kepada UMNO dan membantu jentera pada PRU-15 akan datang," katanya.

Artikel Berkaitan: