Himpunan sokong Najib: KKM pantau peningkatan kes Covid-19

Penyokong Najib Razak berkumpul tanpa mematuhi SOP PKPP di luar pekarangan Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto ihsan pembaca. Dr Noor Hisham - Foto fail Bernama
Penyokong Najib Razak berkumpul tanpa mematuhi SOP PKPP di luar pekarangan Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto ihsan pembaca. Dr Noor Hisham - Foto fail Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memantau sekiranya berlaku peningkatan kes koronavirus (Covid-19) susulan perhimpunan penyokong Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Kuala Lumpur semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pemantauan akan dilakukan dalam tempoh 14 hari.

"Kita akan pantau sekiranya berlaku peningkatan kes mendadak terutamanya di Kuala Lumpur," katanya.

Menurutnya, KKM tidak menolak wujudnya kluster baharu akibat perhimpunan tersebut.

"Sekiranya ada peningkatan, kita akan melakukan aktiviti pengesanan secara aktif," katanya ketika sesi libat urus KKM bersama media di sini hari ini.

Beliau berkata, ketidakpatuhan rakyat terhadap prosedur operasi standard (SOP) antara faktor yang menyebabkan jangkitan Covid-19 dalam komuniti meningkat sejak akhir-akhir ini.

"Kita kecewa dan sedih apabila (berhimpun) tidak mematuhi SOP dengan memakai pelitup muka serta penjarakan sosial," katanya.

Semalam, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur sesak dengan kehadiran penyokong Najib dari seluruh pelosok negara pada hari keputusan berhubung dakwaan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Artikel Berkaitan:

Perhimpunan itu dibimbangi menyebabkan kluster baharu Covid-19.