Polis kesan tiga individu ingkar saringan kedua Covid-19

Razarudin Husain
Razarudin Husain
A
A
A

IPOH - Polis sedang mengesan tiga individu di bawah pengawasan (PUS) di negeri ini selepas didapati tidak menjalani ujian saringan kedua koronavirus (Covid-19) pada hari ke-13 perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO).

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, berdasarkan laporan diberikan Jabatan Kesihatan Negeri, ketiga-tiga individu berkenaan telah memberikan maklumat diri yang salah.

Menurutnya, tiga individu itu antara 455 pesakit yang masih direkodkan dalam tempoh kuarantin dan perlu menjalani ujian saringan kedua bagi menentukan sama ada bebas Covid-19 atau sebaliknya.

"Yang lain semua dah selesai buat saringan kedua, hanya tiga individu ini ingkar jalani ujian.

"Mereka gagal dikesan kerana telah memberikan nama, nombor telefon dan alamat yang salah, perkara ini telah dilaporkan Jabatan Kesihatan bagi meminta bantuan polis untuk mengesan kedudukan sebenar mereka," katanya kepada pemberita hari ini.

Berdasarkan rekod, seramai 2,140 PUS yang pulang dari luar negara telah menjalani perintah kuarantin di rumah di seluruh negeri ini dan daripada jumlah itu 1,687 orang telah tamat tempoh kuarantin.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, laporan siasatan terhadap wanita memakai gelang pengesanan kuarantin Covid-19 yang makan di sebuah restoran dan gambarnya tular di media sosial minggu lalu telah diserahkan kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri.

"Pengarah Pendakwaan telah mengarahkan agar siasatan ini diteruskan Jabatan Kesihatan, jadi di pihak polis siasatan kes ditanda sebagai tiada tindakan lanjut (NFA)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan Mac lalu seramai 2,170 orang telah ditangkap membabitkan 1,824 warga tempatan dan 336 warga asing manakala 1,663 orang telah dikenakan dikompaun dan 1,518 orang telah didakwa di mahkamah.