PKR tuntut 19 MP, ADUN keluar parti bayar RM10 juta seorang

Lee Chean Chung
Lee Chean Chung
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) sudah mengarahkan peguam untuk menghantar surat tuntutan (letters of demand) kepada 19 ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang berpaling tadah dengan keluar daripada parti berkenaan.

Bendahari Agung, Lee Chean Chung berkata, menerusi surat itu, parti menuntut sebanyak RM10 juta (RM10,000,000) daripada setiap mereka.

"Tuntutan pampasan ini adalah jumlah yang telah dipersetujui mereka kerana berpaling daripada parti termasuk menyalahgunakan kerusi (DUN/Parlimen) dimiliki untuk kepentingan peribadi.

"Kesemua 19 ahli Parlimen dan ADUN itu perlu membayar jumlah tersebut dalam tempoh tujuh hari dan jika bayaran gagal dibuat dalam tempoh tersebut, parti akan mengarahkan peguam untuk mengambil tindakan selanjutnya bagi mendapatkan semula pampasan yang diminta," katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Selain itu Chean Chung turut mendedahkan 19 nama ahli Parlimen dan ADUN yang akan menerima surat tuntutan berkenaan iaitu didahului dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Gombak); Zuraida Kamaruddin (Ampang); Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota); Datuk Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak); Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal); Datuk Rashid Hasnon (Batu Pahat); Datuk Seri Dr Santhara Kumar (Segamat); Ali Biju (Saratok) dan Jonathan Yasin (Ranau).

Sementara, itu 10 yang lain adalah Dr Chong Fat Full (Pemanis); Datuk Muhammad Jailani Khamis (Rembia); Datuk Abdul Yunus Jamahri (Kuala Krau); Muhammad Hilman Idham (Gombak Setia); Baru Bian (Selangau); Azman Nasrudin (Lunas); Dr Robert Ling Kui Ee (Sidam); Haniza Mohamed Talha (Lembah Jaya); Dr Daroyah Alwi (Sementa) dan Zulkifli Ibrahim (Sungai Aceh).

Artikel Berkaitan: