Mayat warga Nepal ditemui di kaki lima

Seorang lelaki dipercayai warga Nepal ditemui terbaring tidak sedarkan diri di kaki lima sebuah premis perniagaan.
Seorang lelaki dipercayai warga Nepal ditemui terbaring tidak sedarkan diri di kaki lima sebuah premis perniagaan.
A
A
A

KULAI - Seorang lelaki dipercayai warga Nepal ditemui terbaring tidak sedarkan diri di kaki lima sebuah premis perniagaan di kawasan Indahpura di sini semalam.

Dalam kejadian pada jam 4.20 pagi, lelaki berkenaan didapati cedera dengan kesan lebam di bahagian muka dan darah keluar dari mulutnya.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, sepasukan Rondaan Cegah Jenayah (RCJ) Balai Polis Kulai yang bergegas ke lokasi kemudian memaklumkan kejadian itu ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai.

"Pasukan forensik Jabatan Siasatan Jenayah IPD Kulai melakukan siasatan dan mendapati lelaki berkenaan sudah meninggal dunia.

"Semakan dan pemeriksaan pihak polis di lokasi kejadian tidak menemui sebarang objek atau item yang disyaki senjata digunakan dalam kejadian tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, pihak polis tidak menyangkal kemungkinan mangsa terlibat dalam satu kes pergaduhan sebelum ditemui mati.

Pihaknya masih mengenal pasti identiti mayat tersebut kerana semasa ditemui tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

"Pihak hospital yang hadir di lokasi mengesahkan kematian mangsa sebelum mayat dihantar ke hospital untuk bedah siasat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, hasil laporan perubatan mendapati kematian mangsa adalah disebabkan kecederaan dipukul dengan objek keras dan tumpul pada bahagian abdomen.

Bertindak atas maklumat, beliau berkata, pada jam 11.30 hingga 12.30 tengah hari semalam, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Kulai membuat tangkapan ke atas tiga warga Nepal.

"Mereka yang berusia 23 hingga 37 tahun itu ditahan di Jalan Seroja 4, Kawasan Perindustrian Indahpura di sini dan di Jalan Teratai 36/43, Indahpura di sini bagi siasatan lanjut kes ini," katanya.

Semua suspek katanya, direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) untuk bantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.