X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 28 Mei 2022

Najib terima kunjungan pemimpin utama Pas

Najib berkongsi foto beliau bersama pemimpin utama Pas itu di Facebook miliknya, Najib Razak.
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerima kunjungan beberapa pemimpin Pas di kediamannya, malam tadi.

Ahli Parlimen Pekan itu berkongsi gambar beliau di Facebook miliknya bersama dengan empat pemimpin Pas tersebut iaitu Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Timbalan Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan dan Ahli Majlis Syura Ulamak Pas, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

"Saya ada tetamu lewat malam tadi. Tidak perlulah saya mengulas panjang.

"Sahabat sejati bukan sahaja mereka yang bersama ketika susah atau senang tetapi juga mereka yang sentiasa mendoakan kita. Sahabat yang sejati sukar ditemui.

"Jika di sisi, saya hargai dan saya tahu itulah anugerah Allah SWT," ujarnya menerusi hantaran di Facebooknya, malam tadi.

Sementara itu Abdul Hadi dalam satu kenyataan semalam menyatakan, bahawa Pas mengambil sikap akur dengan keputusan Mahkamah Tinggi.

Menurut beliau, Pas menghormati proses mahkamah yang berteraskan prinsip Kedaulatan Undang-Undang yang didukung oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

"Pas yakin Datuk Seri Najib akan memanfaatkan sepenuhnya peluang untuk mendapat keadilan di mahkamah ke peringkat seterusnya.

"Walau dalam apa keadaan sekali pun, Pas menzahirkan komitmen bersama UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) di samping terus memperkukuhkan kerajaan PN," katanya.

Semalam, Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi selepas didapati bersalah terhadap tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Najib yang menjadi perdana menteri keenam dari 2009 hingga 2018, menjadi ketua negara pertama di Malaysia diheret ke mahkamah.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!