X

Kindly register in order to view this article
!

Kepimpinan lama KFA mula bersuara

A
A

Pihak pengurusan lama Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) tampil menafikan bahawa mereka menjadi punca menyebabkan badan induk itu kini menanggung hutang mencecah RM10.6 juta.

Bekas Presiden KFA, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, semasa KFA berada di bawah kepimpinannya, tiada dalam kalangan mana-mana pemain skuad Lang Merah dibayar gaji RM125,000.

Malah, Mukhriz memberitahu, pihaknya sentiasa berusaha mengurangkan bebanan perbelanjaan persatuan tanpa menjejaskan kebajikan para pemain dan pegawai pasukan.

"Kos pengurusan skuad Kedah meningkat kembali walaupun sudah melakukan penjimatan apabila Lang Merah mara ke saingan AFC. Namun, kami tetap berusaha membiayai semua kos melalui geran kerajaan negeri Kedah, Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dan swasta.

"Begitupun, belum sempat KFA dapatkan penajaan, pertukaran kepimpinan pula berlaku. Saya harap presiden sekarang tidak tuding jari kepada kepimpinan terdahulu dan sedaya upaya selesaikan masalah yang berlaku," katanya menerusi laman sosial Facebook Mukhriz Mahathir.

Bekas Setiausaha Kehormat KFA, Asmirul Anuar Aris pula memberitahu, pembelian Kpah Sherman dan Kipre Tchetche bertujuan memantapkan jentera serangan Lang Merah musim ini.

"Antara yang menjadi persoalan ialah jumlah gaji pemain. Memandangkan Kedah layak ke Piala AFC 2020, dengan kesungguhan KFA untuk mengangkat martabat bola sepak negeri Kedah ke peringkat Asia, maka sejumlah perbelanjaan telah dinaikkan.

"Pembelian Kpah dan Kipre menjadi keutamaan berikutan kegagalan (pada) saingan final Piala Malaysia 2019. (Namun) jumlah gaji yang diterima tidaklah sebagaimana yang digemburkan," jelasnya dalam laman Facebook Asmirul Anuar Aris FC.

Ahad lalu, Presiden baharu KFA, Muhammad Sanusi Md Nor mendedahkan, KFA kini berdepan hutang lapuk berjumlah RM10.6 juta termasuk gaji, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan tunggakan tiket pengangkutan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!