Armada Sejati bina semangat perpaduan ahli

Adi Farhan (empat dari kiri) menyampaikan cenderahati berupa baju T Armada Sejati kepada Razali pada majlis santai di Kuala Terengganu malam tadi.
Adi Farhan (empat dari kiri) menyampaikan cenderahati berupa baju T Armada Sejati kepada Razali pada majlis santai di Kuala Terengganu malam tadi.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Cetusan idea Armada Sejati yang digerakkan oleh calon Exco Armada Nasional, Adi Farhan Isa sejak Februari lalu bukan untuk menyaingi kumpulan lain dalam sayap parti itu sempena pemilihan Bersatu pada 15 Ogos nanti.

Beliau berkata, garapan idea Armada Sejati bertujuan untuk membina semangat perpaduan ahli di peringkat akar umbi supaya semakin kukuh untuk menyokong barisan kepimpinan atasan Bersatu dan Armada khasnya.

"Cetusan idea Armada Sejati tiada kaitan untuk bersaing dengan gerakan atau kumpulan lain seperti Angkatan Baru dan Nafas Baru.

"Ini kerana kami sentiasa meraikan perbezaan idea dan bersilaturahim dengan semua ahli peringkat akar umbi daripada kedua-dua kumpulan itu.

"Niat Armada Sejati adalah untuk menyemarakkan semangat perpaduan bagi memperkukuhkan organisasi parti," katanya.

Adi Farhan berkata demikian pada Majlis Santai Armada Sejati Bersama Armada Negeri Terengganu di sebuah hotel di Kuala Terengganu malam tadi.

Turut hadir semua Ketua Armada Bahagian di Terengganu dan Pengerusi Bersatu negeri, Senator Datuk Razali Idris.

Jelas beliau, Armada Sejati yang diterima oleh ramai pemimpin dan ahli peringkat bahagian di seluruh negeri dilihat mampu menyatupadukan keharmonian sambil mereka bertukar pandangan serta idea untuk memantapkan lagi Armada secara keseluruhan.

Artikel Berkaitan:

Adi Farhan berkata, Armada Sejati bersedia bekerjasama dengan sesiapa pun yang bakal menjadi Ketua Armada Nasional nanti sama ada Muzzammil Ismail atau Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamil.

"Armada Sejati mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk menyokong idea gerakan ini tak kira daripada penyokong Muzzammil atau Wan Ahmad Fayhsal kerana apa yang kami bawa ini untuk kebaikan Armada.

"Setiap kali kami mengadakan perjumpaan di peringkat negeri, 'penyokong' daripada kedua-dua kumpulan boleh duduk bersama dalam suasana harmoni.

"Mungkin mereka memahami tujuan Armada Sejati bukan untuk bersaing bagi kerusi nombor satu dalam Armada," katanya.

Jelas Adi Farhan, sebelum majlis santai di Terengganu ini mereka sudah menjelajah ke tujuh negeri untuk beramah mesra dengan ahli di semua peringkat akar umbi.

"InsyaALLAH malam ini kita akan bersama ahli-ahli Armada Kelantan sebelum ke Sabah minggu hadapan dan program terakhir di Selangor sebelum 15 Ogos.

"Kami bersatu hati dan meraikan semua pihak dalam Armada dan Bersatu," katanya.