Sindiket pil kuda bawa budak

Razarudin (tengah) menunjukkan hasil rampasan dadah bernilai RM2 juta dalam serbuan di dua lokasi berasingan, Isnin lalu.
Razarudin (tengah) menunjukkan hasil rampasan dadah bernilai RM2 juta dalam serbuan di dua lokasi berasingan, Isnin lalu.
A
A
A

IPOH - Polis berjaya membongkar kegiatan sindiket pengedaran dadah jenis pil kuda antarabangsa yang membawa bersama kanak-kanak dengan tertangkapnya sepasang suami isteri dalam dua serbuan di Ipoh dan Kampar, Isnin lalu.

Kegiatan kumpulan yang aktif sejak dua bulan itu menggunakan kanak-kanak bagi mengaburi mata pihak berkuasa untuk melepasi sekatan jalan raya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, pasangan suami isteri terbabit ditahan bersama dua anak mereka masing-masing berusia tiga dan lapan tahun di parkir sebuah hotel di Ipoh.

Menurutnya, serbuan pada jam 11.45 pagi itu turut menahan dua lelaki dan seorang lagi wanita dipercayai rakan kepada pasangan itu.

"Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan dinaiki mereka menemui satu guni berwarna putih yang di dalamnya mengandungi 33 bungkusan kertas lilin berisi 200,000 biji pil kuda atau dikenali pil yaba.

"Rampasan dadah bernilai lebih RM2 juta itu diperoleh dari negara jiran dan dipercayai untuk edaran luar negara," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perak, Asisten Komisioner Lee King Chuan.

Artikel Berkaitan:

Razarudin (tengah) memeriksa kenderaan yang disita hasil serbuan di dua lokasi berasingan, Isnin lalu.
Razarudin (tengah) memeriksa kenderaan yang disita hasil serbuan di dua lokasi berasingan, Isnin lalu.

Razarudin berkata, susulan tangkapan itu, polis berjaya menahan tiga lagi ahli sindiket iaitu dua lelaki dan seorang wanita di kawasan parkir sebuah hotel di Kampar pada hari sama kira-kira jam 1 petang.

Katanya, daripada siasatan dilakukan, kumpulan itu menjadikan hotel sebagai penginapan dan membawa bersama kanak-kanak ketika melalui operasi sekatan jalan raya yang dilakukan polis.

"Disebabkan kita dalam tempoh PKP, banyak sekatan jalan raya termasuk (kawasan sempadan) di Gerik dan Pengkalan Hulu dan biasanya apabila bawa kanak-kanak pihak berkuasa akan lepaskan kenderaan itu.

"Bagaimanapun hasil kecekapan anggota narkotik kita berjaya mengesan kegiatan ini dan membuat tangkapan besar pada serbuan 27 Julai lalu," katanya.

Beliau berkata, hasil dua serbuan itu, polis berjaya menyita empat kenderaan iaitu Honda Accord, Honda Civic, Proton Preve dan Perodua Myvi bernilai hampir RM155,000.

Menurutnya, daripada tangkapan dibuat, lapan termasuk tiga wanita kesemuanya berusia lingkungan 21 hingga 54 tahun direman antara tujuh ke lima hari dari tarikh tangkapan bagi membantu siasatan.

"Dua kanak-kanak pula telah dibebaskan dan diserahkan kepada ahli keluarga yang sah untuk dijaga.

"Siasatan lanjut kini diteruskan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan," katanya.