[VIDEO] Pemeriksaan mengejut ke atas individu pakai 'gelang pink'

Dr Teh Muthmainnah (kiri) bertanyakan khabar pada pemakai gelang pink yang menjalani kuarantin di rumah.
Dr Teh Muthmainnah (kiri) bertanyakan khabar pada pemakai gelang pink yang menjalani kuarantin di rumah.
A
A
A

PASIR PUTEH - Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Pasir Puteh melakukan pemeriksaan mengejut ke atas empat individu yang memakai gelang pink di sekitar jajahan itu berhubung pengawalan terhadap penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Pegawai Kesihatan Epid PKD Pasir Puteh, Dr Teh Muthmainnah Md Suhaimi berkata, pemeriksaan itu bertujuan melihat kepatuhan pemakai gelang pink terhadap arahan kuarantin selama 14 hari yang dikeluarkan oleh kerajaan.

"Setiap hari polis akan datang ke rumah untuk melakukan pemeriksaan sama ada pemakai gelang pink patuh atau tidak.

"Namun hari ini, PKD Pasir Puteh bersama pasukan Polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berpadu tenaga dengan melakukan pemeriksaan mengejut dari rumah ke rumah," katanya kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan mengejut di sekitar Selising, Saring dan Semerak di sini hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mengejut itu mendapati individu tersebut patuh kepada arahan kerajaan dengan tinggal di rumah dan tidak keluar sesuka hati.

Katanya, bagaimanapun sebelum ini ada satu kes seorang pemakai gelang pink telah melanggar arahan kuarantin di rumah.

"Hasil kerjasama orang ramai yang menyalurkan maklumat kepada PKD Pasir Puteh kita berjaya mengesan individu tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan:

PKD Pasir Puteh dengan kerjasama PDRM dan ATM melakukan pemeriksaan mengejut ke atas individu yang memakai gelang pink di sekitar jajahan ini.
PKD Pasir Puteh dengan kerjasama PDRM dan ATM melakukan pemeriksaan mengejut ke atas individu yang memakai gelang pink di sekitar jajahan ini.

Pada masa sama Dr Teh Muthmainnah menasihatkan orang ramai supaya tidak panik sekiranya terlihat pihak PKD bersama anggota Polis dan ATM turun padang membuat pemeriksaan di kawasan mereka.

Katanya, pemeriksaan itu bukan bermakna kawasan tersebut positif Covid-19 sebaliknya ia hanya pemantauan kepada individu memakai gelang pink.

"Kalau ada kes positif jangan bimbang kita akan terus bawa mereka ke hospital untuk rawatan lanjut," kata beliau lagi.

Beliau berharap orang ramai juga tidak mudah memandang serong atau menyebar maklumat yang tidak lengkap berkaitan pemakai gelang pink.

Dr Teh Muthmainnah berkata, mereka yang memakai gelang pink masih lagi di peringkat saringan dan bukannya positif disebabkan itulah mereka perlu dikuarantin di mana sepanjang tempoh itu beberapa ujian akan dilakukan untuk memastikan mereka betul-betul bebas.

Menurutnya, pemakai gelang pink adalah mereka yang pulang dari luar negara seperti tentera, pelajar, mereka yang bekerja dan bukannya yang pergi bercuti.

"Setelah tiba di pintu masuk negara mereka akan dikenakan pemakaian gelang pink sehingga mereka betul-betul didapati tidak dijangkiti Covid-19 selepas menjalani kuarantin selama 14 hari," katanya.