Ingkar SOP: Polis panggil penganjur himpunan sokong Najib

Penyokong Najib Razak berkumpul tanpa mematuhi SOP PKPP di luar pekarangan Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto ihsan pembaca. Anggota PDRM berkawal Kompleks Mahkamah, Kuala Lumpur, Jalan Duta selepas ketibaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Foto Sinar Harian/Rosli Talib
Penyokong Najib Razak berkumpul tanpa mematuhi SOP PKPP di luar pekarangan Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto ihsan pembaca. Anggota PDRM berkawal Kompleks Mahkamah, Kuala Lumpur, Jalan Duta selepas ketibaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Foto Sinar Harian/Rosli Talib
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis akan memanggil penganjur yang terlibat dalam perarakan menyokong Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Kuala Lumpur semalam selepas dikatakan ingkar arahan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata, berhubung perkara berkenaan, pihaknya telah bertemu dengan individu yang bertanggungjawab membawa rombongan terbabit pada seminggu sebelum kejadian untuk memberitahu tentang suasana PKPP ketika ini khususnya dalam penjagaan jarak dan sebagainya.

Menurutnya, perkara itu telah disampaikan kepada penganjur dan beliau percaya masyarakat yang waras tahu mengenai masalah Covid-19 yang masih menular.

"Ini macam pecah amanah... dia sudah janji. Kita akan panggil individu itu dari semasa ke semasa. Sebelum ini kita benarkan mereka datang, tapi jagalah SOP. Kita sudah bagi nasihat supaya jaga jarak semasa di lapangan dengan amaran.

"Namun begitu arahan itu tidak diendahkan dan satu laporan polis telah kita terima daripada orang awam," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul hari ini.

Terdahulu, Mazlan hadir merasmikan IPD Sentul. Turut hadir Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Huzir Mohamed, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim.

Mengulas lanjut, beliau berkata, siasatan telah dilakukan pihaknya termasuklah di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Akta 342.

Katanya, mengapa masih ada individu yang mengundang masalah biar pun kerajaan sudah kerap memberi peringatan.

Artikel Berkaitan:

"Dalam musim Covid-19 ini, kita jaga kita. Lepas kejadian itu, akhir sekali polis dan Kementerian Kesihatan yang disalahkan. Walhal diri sendiri yang perlu faham.

"Apa pun, siasatan perlu diteruskan dan akan dilengkapkan sebelum diserah kepada pihak Jabatan Peguam Negara untuk menilai kes ini," katanya.

Beliau berkata, pihak polis telah menjangkakan lebih 900 orang akan hadir berikutan terdapat rombongan yang tiba dari luar.

"Keghairahan itu mungkin menyebabkan mereka tidak mematuhi SOP yang sebaiknya," katanya.

Terdahulu, Najib yang merupakan bekas Perdana Menteri yang pertama disabit salah atas tujuh pertuduhan membabitkan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan dana syarikat SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.