Ramai penyokong bukan Islam sertai Pas

Persuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Rafie Mustapha (empat dari kanan) menerima borang keahlian baharu DHPP, sambil diperhatikan Pengerusi DHPP Malaysia, Senator N Balasubramaniam di Pejabat Pas Rembau, kelmarin.
Persuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Rafie Mustapha (empat dari kanan) menerima borang keahlian baharu DHPP, sambil diperhatikan Pengerusi DHPP Malaysia, Senator N Balasubramaniam di Pejabat Pas Rembau, kelmarin.
A
A
A

REMBAU - Semakin ramai penyokong bukan Islam kini mendaftar sebagai ahli Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) di Negeri Sembilan susulan penerimaan kira-kira 200 borang keahlian baharunya.

Ketua Penerangan Badan Perhubungan Pas Negeri, Dr Badzli Bakar berkata, kelmarin pihaknya menerima hampir 200 borang keahlian baharu DHPP yang diserahkan di Pejabat Pas Rembau.

"Kita mengadakan majlis ramah mesra antara pemimpin Pas dan juga DHPP pusat yang dihadiri oleh Pengerusinya sendiri ke Pejabat Pas Rembau.

"Hasil pertemuan berlangsung hampir sejam itu, memperlihatkan bahawa Pas semakin diterima masyarakat bukan Islam, menandakan bahawa Pas selama ini berjuang untuk semua bangsa mula difahami. Sebaik sahaja pertemuan tersebut, sebanyak 200 borang keahlian DHPP Negeri Sembilan diserahkan kepada Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan," katanya.

Menurut beliau, penyerahan borang keahlian DHPP tersebut disempurnakan Pengerusi DHPP Malaysia, Senator N Balasubramaniam kepada Persuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha.

Tambahnya, masyarakat bukan Islam mula menunjukkan minat terhadap Pas dengan membuktikan penyertaan mereka dalam DHPP yang merupakan salah satu sayap Pas.

"Memandangkan ramai penyertaan bukan Islam, kita sedang merangka beberapa program termasuk Pelancaran DHPP dan Hari Kemerdekaan Peringkat Negeri Sembilan pada 29 Ogos ini bertempat di Komplek Pas Negeri Sembilan (KOMPAS).

"Dengan pertambahan ahli DHPP di negeri ini, ia akan menjadi lebih mudah bagi jentera bergerak terutama di kawasan yang ramai bukan Islam untuk memberikan penerangan hala tuju dan perjuangan Pas yang bukan sahaja menjaga agama tetapi rakyat keseluruhan termasuk bukan Islam," katanya.

Artikel Berkaitan:

Badzli berkata lagi, Pas menjangkakan lebih ramai bukan Islam akan tertarik dengan parti itu dan menyertai DHPP.

"Pas sentiasa terbuka menerima sesiapa sahaja yang mahu menjadi ahli tanpa mengira agama kerana Pas berjuang untuk semua (Pas for all) dan kita sangat mengalu-alukan penyertaan lebih ramai masyarakat bukan Islam dalam Pas," kata beliau lagi.