PRU15: Bekas MB Johor nak bertanding Parlimen Pulai

Osman (tengah) bersama wakil masjid di DUN Kempas melibat lembu korban yang diserahkan.
Osman (tengah) bersama wakil masjid di DUN Kempas melibat lembu korban yang diserahkan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian berhasrat bertanding bagi kerusi Parlimen Pulai pada Pilihan Raya Umum ke- 15 ( PRU15) akan datang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas itu berkata, Parlimen tersebut menjadi pilihannya walaupun beliau bukan Ketua Bahagian Bersatu di kawasan itu.

"Sudah dua penggal saya menjadi ADUN Kempas dan pernah menjadi Menteri Besar Johor. Kedudukan begini bukan semua orang dapat. Cuma yang belum saya cuba ialah menjadi ahli Parlimen. Kalau diberi peluang, saya pilih untuk jadi ahli Parlimen dan kalau dapat Pulai lagi bagus.

"Namun terpulang pada pucuk pimpinan parti. Kalau saya diperlukan lagi untuk dicalonkan dan bertanding di mana-mana yang fikir saya layak dan boleh menang, terpulanglah," katanya yang merupakan Ketua Bahagian Bersatu Ayer Hitam.

Beliau berkata demikian pada majlis serahan sumbangan Aidiladha dan serahan lembu korban di DUN Kempas di sini, hari ini.

Kerusi Parlimen Pulai kini disandang, Datuk Salahuddin Ayub daripada Parti Amanah Negara ( Amanah) selepas menewaskan penyandangnya dari UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed pada PRU14 lalu.

Parlimen Pulai memiliki dua DUN iaitu Perling dan Kempas.

Osman turut mencabar Nur Jazlan bertanding di Parlimen Pulai ekoran reaksi Timbalan Pengerusi UMNO Johor itu yang memberi gambaran parti itu 'sekadar melukut di tepi gantang'.

Artikel Berkaitan:

"Saya cabar dia kalau hendak bertanding lawan saya, saya bertanding lawan dia, Insya- ALLAH saya boleh menang. Bertanding di atas tiket parti apa? Itu tidak kira," katanya.

Pada 25 Julai lalu, Sinar Harian melaporkan Nur Jazlan menyatakan hubungan antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak begitu kukuh meskipun bersama dalam gabungan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional ( BN) itu berkata, Johor salah satu daripada negeri-negeri yang menjadi bukti ketegangan hubungan politik antara kedua-dua parti itu.