Gabung program fizikal dan digital

Ahmad Faizal mengibarkan Jalur Gemilang sebagai simbolik pelepasan Konvoi Kembara Jalur Gemilang sempena Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibarkan Jalur Gemilang, semalam.
Ahmad Faizal mengibarkan Jalur Gemilang sebagai simbolik pelepasan Konvoi Kembara Jalur Gemilang sempena Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibarkan Jalur Gemilang, semalam.
A
A
A

SAMBUTAN Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Perak akan disemarakkan dengan menggabungkan aktiviti fizikal dan digital sepanjang penganjurannya bermula 16 Julai sehingga 16 September 2020.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, beberapa program yang telah diatur akan dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak keselamatan dan kesihatan.

Menurutnya, program-program itu perlu dilaksanakan bagi mengekalkan momentum suasana sambutan dan mengekalkan tradisi sebagai tanda syukur kepada perjuangan tokoh terdahulu.

“Bagi memastikan semangat dan nilai patriotisme terus mekar dalam kalangan rakyat Malaysia, sambutan Bulan Kebangsaan 2020 dilaksanakan secara hibrid yang menggabungkan dua kaedah secara fizikal dan maya. Kehangatan sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini akan terasa kelainannya kerana kesan daripada penyebaran Covid-19.

“Tidak kira di pihak individu, organisasi atau jabatan, kita perlu memainkan peranan masing-masing dalam menghangatkan lagi suasana sambutan Hari Kebangsaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibarkan Jalur Gemilang di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini semalam.

Dalam usaha menyemarakkan Kempen Kibarkan Jalur Gemilang, Ahmad Faizal menggesa orang ramai mengibarkan bendera atas dasar kasih sayang dan cintakan negara.

Sempena Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibarkan Jalur Gemilang Peringkat Negeri Perak pada tahun ini, lima program utama akan dilaksanakan mengikut kesesuaian SOP PKPP iaitu Momen Merdeka yang menggalakkan rakyat mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman masing-masing dan kemudian memuat naik gambar ekspresi merdeka ke platform media sosial.

Program Merdeka Community Bonding juga diperkenalkan dengan merakam aktiviti komuniti setempat menghiasi Jalur Gemilang di kediaman masing-masing dan merakam nyanyian lagu patriotik secara beramai-ramai.

Artikel Berkaitan:

Pertandingan Warna Warni Merdeka juga diperkenalkan dengan menggalakkan masyarakat melaksanakan program-program keceriaan bertemakan kemerdekaan dan mengadakan pertandingan-pertandingan secara digital.

Selain itu juga, program Bicara Kemerdekaan dan Doa Untuk Malaysia turut diadakan. Begitu juga Merdeka Talk yang akan membicarakan topik-topik kemerdekaan dari perspektif media serta tokoh-tokoh terkemuka anak kelahiran Perak.

Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang ke setiap daerah di negeri ini akan turut diadakan bermula 28 Julai hingga 30 Ogos.

Orang ramai boleh melayari laman web www.perak.gov.my atau mengunjungi semua platform digital Jabatan Penerangan Negeri Perak untuk mendapatkan maklumat lanjut.