Semarak semangat Malaysia Prihatin

Muhyiddin ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2020 di Perdana Putra, semalam.
Muhyiddin ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2020 di Perdana Putra, semalam.
A
A
A

PUTRAJAYA - Semangat Malaysia Prihatin perlu disemarakkan di segenap segi termasuk usaha memulihkan semula ekonomi dan kehidupan rakyat ke arah yang lebih baik.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini iaitu Malaysia Prihatin perlu disematkan dalam ingatan untuk mengukuhkan kembali asas-asas perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan.

“Tema ini bertepatan dengan aspirasi yang didukung kerajaan, seluruh rakyat sama ada penjawat awam, sektor swasta, sukarelawan mahupun orang perseorangan turut bersama-sama memerangi musuh di kala ini iaitu wabak Covid-19,” katanya ketika berucap sempena pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2020 anjuran Jabatan Penerangan Malaysia di sini semalam.

Beliau berkata, semangat Malaysia Prihatin dizahirkan bukan sahaja oleh petugas barisan hadapan, malahan rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat yang merupakan wira tidak didendang.

“Mereka tampil untuk memberikan bantuan dan sokongan tanpa mengira kaum, agama dan fahaman,” katanya.

Menurutnya, ia petanda baik yang membuktikan rakyat boleh bersatu sama ada di waktu susah dan senang.

“Saya percaya perasan cinta kepada negara inilah yang boleh menjadi tali pengikat utama kepada perpaduan bangsa negara ini,” katanya.

Muhyiddin berkata, Jalur Gemilang juga merupakan lambang kedaulatan dan kemerdekaan negara.

Artikel Berkaitan:

“Kita semua dengan rela hati mengibarkan dengan megah Jalur Gemilang di sepanjang tahun, tanpa perlu menunggu adanya program sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang,” katanya.

Pada majlis yang turut dihadiri barisan menteri Kabinet dan ketua jabatan itu, Muhyiddin turut melepaskan 10 kenderaan Jabatan Penerangan Malaysia yang menyertai Pelepasan Info On Wheels Merdeka (IOW).

Unit IOW akan bergerak menjelajah ke seluruh negeri meliputi 153 daerah ke kawasan komuniti dan luar bandar untuk melakukan aktiviti penghebahan berkaitan inisiatif kerajaan Persekutuan.