3.8 juta remaja bakal mengundi PRU15

Abdul Aziz Rahman
Abdul Aziz Rahman
A
A
A

KUANTAN - Dianggarkan 3.8 juta remaja bakal mengundi kali pertama pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Tan Sri Abdul Aziz Rahman berkata, pihaknya akan memberi pemahaman lengkap mengenai prinsip Rukun Negara kepada golongan remaja yang berusia 18 tahun untuk mengundi.

Menurutnya, ini kerana kebanyakan golongan remaja terutama yang masih berada di bangku sekolah begitu mudah terdedah kepada sumber maklumat kurang tepat dan mengelirukan.

"Jadi, pihak Mubarak akan meneruskan siri Wacana Diraja dan kali ini akan memperluaskan penganjurannya ke peringkat sekolah. Ia sebagai kesinambungan kepada kejayaan penganjuran siri Wacana Diraja: Raja dan Perlembagaan pada tahun 2018.

"Kita yakin usaha ini dilakukan bagi menanamkan sikap sayangkan negara dan meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Pendemik Koronavirus (Covid-19) kepada Ahli Mubarak Pahang di sini, hari ini.

Turut hadir Exco Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Datuk Seri Mohd Johari Hussain.

Abdul Aziz berkata, program Wacana Diraja sudah dilaksanakan di peringkat negeri di Kuantan dan juga Zon Pahang Barat iaitu di Kuala Lipis.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, pihaknya kini sedang menunggu masa sesuai untuk mengadakannya di Temerloh bagi Zon Tengah dan akhir sekali membabitkan peserta dari Pekan serta Rompin.

"Kita kena tunggu sehingga ancaman Covid-19 benar-benar berakhir, barulah boleh putuskan tarikh bagi penganjuran setiap program berkenaan," katanya.

Pada majlis itu, seramai 40 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dari Pahang turut menerima sumbangan Kerajaan Negeri yang disampaikan Mohd Johari.