X

Kindly register in order to view this article
!

Tukang sembelih perlu berani, ada ilmu

Abdul Manas menunjukkan koleksi parangnya.
A
A

SEREMBAN - Pernah dipertanggungjawabkan untuk melakukan penyembelihan 10 ekor lembu pada satu masa dalam satu program ibadah korban antara pengalaman tidak dapat dilupakan oleh Abdul Manas Md Isa, 53.

Beliau yang berpengalaman lebih 25 tahun sebagai penyembelih haiwan korban berkata, tanpa keberanian serta ilmu yang dituntut daripada arwah ayahnya sejak kecil mana mungkin dia mampu melaksanakan tugas itu.

"Semasa kecil saya selalu tengok arwah ayah menyembelih haiwan korban dan dari situ timbul keberanian untuk belajar dan kali pertama saya memberanikan diri menyembelih lembu dan kambing ketika berusia 25 tahun.

"Mula-mula memang takut juga tengok darah, tapi bila selalu didedahkan jadi biasa dan sehingga kini lebih 50 ekor haiwan korban yang saya sembelih.

"Kalau tak berani, jangan saja-saja buat berani nanti lain jadinya kerana bukan semua orang mampu berdepan dengan darah," katanya.

Beliau yang merupakan Ketua Unit Siasatan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) berkata, menjadi peranan utama penyembelih untuk memastikan ibadah korban itu dilaksanakan dengan sempurna.

Katanya, paling penting perlu memastikan syarat-syarat sah ibadah korban diikuti.

"Korban ini satu ibadah yang dituntut dan perlu dilaksanakan sebaik mungkin. Jangan pandang ringan mengenainya.

"Ingat tugas penyembelih ini besar. Kalau tersalah sembelih, ibadah korban itu tak sah," katanya.

Abdul Manas menunjukkan koleksi parangnya.
Abdul Manas menunjukkan koleksi parangnya.

Antara yang perlu diberi perhatian oleh penyembelih ialah parang atau pisau yang digunakan perlu tajam.

Kata Abdul Manas, dia sendiri mempunyai lima koleksi parang yang dikhaskan untuk menyembelih haiwan korban dan tidak digunakan untuk urusan lain.

"Bila kita guna senjata yang tajam dan baik, kita tidak akan menyakitkan haiwan itu," katanya.

Selain perkara sunat yang dituntut ketika kerja penyembelihan, Abdul Manas juga mengamalkan petua orang dulu-dulu antaranya mata pisau perlu dikilirkan di tapak tangan sebelum memulakan penyembelihan dan jangan basuh parang dan tangan sebelum haiwan korban betul-betul mati.

Menurutnya, untuk keselamatan jangan sesekali duduk di belakang haiwan korban yang telah ditumbangkan dan perlu menggunakan tali yang sesuai untuk mengikatnya.

"Kalau tak betul caranya itu kadang-kadang kita dengar kes lembu terlepas atau ada orang yang cedera ditendang.

"Banyak lagi yang kita perlu amalkan bila terlibat dalam penyembelihan ini. Sebab itulah perlu ada ilmu. Saya tengok dah ramai anak muda yang berminat belajar menyembelih dan itu satu perkembangan positif," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!