Rayu hingga petisyen pengampunan

Najib didapati bersalah terhadap ketujuh-tujuh pertuduhan melibatkan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kuasa melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd. -Foto Bernama
Najib didapati bersalah terhadap ketujuh-tujuh pertuduhan melibatkan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kuasa melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd. -Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak boleh merayu sehingga ke peringkat petisyen pengampunan sekiranya rayuan di peringkat mahkamah masih mengekalkan hukuman kesnya.

Perkara itu termaktub di bawah Perkara 42, Kuasa Pengampunan Perlembagaan Persekutuan yang memberikan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi kesalahan-kesalahan yang yang dilakukan di kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya manakala bagi kes-kes dan kesalahan yang dilakukan di negeri-negeri lain, kuasa pengampunan adalah di bawah Raja, Sultan atau Yang di-Pertua Negeri masing-masing.

Pakar Undang-undang dan Perlembagaan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar berkata, pada peringkat awal, pihak pembelaan boleh memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan dalam tempoh 14 hari susulan Mahkamah Tinggi menetapkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas tujuh pertuduhan berkaitan wang milik SRC International semalam.

Beliau berkata, proses rayuan bergantung kepada tempoh perbicaraan dan tiada tempoh maksimum ditetapkan untuk proses perbicaraan rayuan.

“Sekiranya Mahkamah Rayuan masih mengekalkan hukuman terhadap Najib, pihak pembelaan masih boleh memfailkan rayuan ke peringkat Mahkamah Persekutuan juga dalam tempoh 14 hari selepas hukuman dijatuhkan.

“Katakanlah sehingga ke Mahkamah Persekutuan pun beliau masih didapati bersalah, Najib boleh membuat petisyen untuk mendapatkan pengampunan seperti yang termaktub dalam Perkara 42, Kuasa Pengampunan Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong, Raja atau Yang di-Pertua Negeri mempunyai kuasa untuk memberi ampun, tunda hukuman atau lega hukuman.

“Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong dan dianggotai Peguam Negara, Menteri yang menjaga hal-ehwal Wilayah Persekutuan dan ahli dilantik Yang di-Pertuan Agong tidak melebihi tiga orang, perlu mengadakan mesyuarat selepas menerima rayuan atau petisyen pengampunan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Artikel Berkaitan:

Zainul Rijal
Zainul Rijal

Jelas beliau, jika mahkamah menerima permohonan rayuan yang dibuat, proses perbicaraan rayuan bukan hanya untuk hukuman diringankan tetapi juga boleh untuk pembuktian tidak bersalah.

“Jika rayuan untuk kata tidak bersalah juga boleh. Tak semestinya untuk meringankan hukuman. Ini semua bergantung kepada pembuktian, saksi dan lain-lain,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, persoalan mungkin timbul jika Najib merayu, apakah hukuman yang dijatuhkan boleh dilaksanakan terus atau perlu menunggu keputusan rayuan.

Jelas beliau, lazimnya jika denda dikenakan, denda tersebut perlu dibayar dahulu tetapi hukuman pemenjaraan boleh ditangguhkan sehingga rayuan diputuskan.

“Mahkamah juga mempunyai kuasa menangguhkan pembayaran denda manakala sebatan mungkin tidak akan dilaksanakan atas faktor usia Najib.

“Semua pihak perlu bertenang dan biarkan proses undang undang berjalan seperti biasa. Masing-masing mempunyai hak yang diberikan oleh undang undang,” katanya.