Apakah langkah pembelaan Najib selepas ini?

 Najib didapati bersalah terhadap ketujuh-tujuh pertuduhan melibatkan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kuasa melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd. - Foto EPA
Najib didapati bersalah terhadap ketujuh-tujuh pertuduhan melibatkan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kuasa melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd. - Foto EPA
A
A
A

SETELAH dua tahun menunggu, akhirnya kes skandal SRC International Sdn Bhd melibatkan mantan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak sampai ke penghujung.

Semalam, 28 Julai 2020, hakim bicara Mohd Nazlan Mohd Ghazali mendapati Najib yang menghadapi tujuh pertuduhan, sabit kesalahannya ke atas semua pertuduhan tersebut.

Pada 4 Julai 2018, Najib dituduh dengan tiga kesalahan pecah amanah dan satu kesalahan salah guna kuasa. Pada 8 Ogos 2018 berikutnya pula, beliau dituduh dengan tiga kesalahan mengubah wang haram (money laundering). Beliau mengaku tidak bersalah kepada semua tujuh pertuduhan dan minta dibicarakan.

Mahkamah kemudian tetapkan 33 hari untuk perbicaraan, iaitu dari 12 hingga 28 Februari 2019 dan dari 4 hingga 29 Mac 2019.

Pasukan pendakwaan telah memanggil 57 orang saksi dan mengemukakan 750 ekshibit, termasuk dokumen bank, akaun bank, transaksi tunai, minit mesyuarat, serta perbualan menerusi messenger Blackberry.

Pada 11 November 2019, hakim bicara Mohd Nazlan memutuskan bahawa pasukan pendakwa telah berjaya mengemukakan satu kes prima facie terhadap tertuduh, lalu memerintahkan tertuduh membela diri.

Najib diberi tiga pilihan iaitu pertama, memberi keterangan secara bersumpah; kedua, memberi keterangan tanpa bersumpah; atau ketiga, berdiam diri. Beliau mengambil pilihan pertama.

Mengikut undang-undang, beban seorang tertuduh apabila dipanggil membela diri oleh hakim bicara adalah bukan membuktikan dia tidak bersalah, tetapi hanya setakat menimbulkan keraguan munasabah pada minda hakim.

Artikel Berkaitan:

Reaksi sugul salah seorang yang dipercayai penyokong Najib di pintu utama Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto Bernama
Reaksi sugul salah seorang yang dipercayai penyokong Najib di pintu utama Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto Bernama

Untuk mencapai matlamat itu, pasukan pembelaan perlu mengemukakan bukti serta hujah untuk mematahkan anggapan (rebut the assumption) bahawa dia bersalah seperti yang dibuktikan oleh pasukan pendakwaan di peringkat prima facie itu.

Ada banyak kes sebelum ini di mana pasukan pembelaan berjaya berbuat demikian. Ada juga kes di mana pasukan pembelaan gagal berbuat demikian, di mana akibatnya prima facie membawa kepada sabitan. Soalnya apakah pasukan peguam yang mewakili Najib dalam kes ini telah berjaya berbuat demikian?

KeraguanKes pembelaan bermula pada 3 Disember 2019 dan berlangsung selama 33 hari. Seramai 19 orang saksi dipanggil memberi keterangan dengan Najib sendiri menjadi saksi pertama. Dalam keterangannya, dia memaklumkan kepada mahkamah dia tidak tahu bahawa duit yang masuk ke dalam akaunnya itu adalah daripada SRC International.

Sewaktu menggulung kes bagi pihak pembelaan, peguam Najib menyatakan bahawa anak guamnya adalah mangsa satu penipuan (victim of a scam) oleh Low Taek Jho dan Nik Faisal Ariff Kamil yang berpakat sama dengan rogue bankers.

Kini jelas bahawa usaha pasukan peguam Najib menimbulkan keraguan pada minda hakim bicara itu gagal. Pada hari Selasa lalu, pada kira-kira jam 11 pagi, ketika membaca teks penghakiman bertulisnya, hakim bicara Mohd Nazlan menyatakan: “Kesimpulannya, pada penghakiman saya, setelah menilai semua keterangan yang dikemukakan di mahkamah ini, saya dapati bahawa pihak pembelaan telah gagal mematahkan anggapan atas imbangan kebarangkalian terhadap tertuduh di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM.”

Pertuduhan di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM itu adalah pertuduhan salah guna kuasa. Ini merupakan kesalahan yang pertama Najib disabitkan daripada tujuh pertuduhan yang dihadapi olehnya. Pada ketika itu, nasib Najib mengenai enam pertuduhan lain (tiga pertuduhan pecah amanah dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram) masih lagi belum diketahui.

Hampir satu jam kemudian, barulah hakim bicara memberi fokus kepada ‘kepercayaan’ tertuduh bahawa wang yang ada dalam akaun banknya itu adalah derma dari Arab Saudi. Kata hakim, dalam kes ini, tertuduh sepatutnya mengambil langkah untuk memastikan asal usul derma itu, adakah ia satu foreign aid, a grant or a loan (bantuan luar, pemberian atau pinjaman)?

Kata hakim lagi, tertuduh sepatutnya menggunakan telefon mudah alihnya dan menghubungi Menteri Luar negara ini atau Duta Saudi. Sebaliknya, tertuduh, seorang Perdana Menteri, terima bulat-bulat pengesahan daripada Jho Low. (The accused could have picked up his mobile and communicated especially with his foreign affairs minister or the Saudi ambassador. Instead the accused, as PM, accepted a simple confirmation from Jho Low.)

Menyentuh isu surat-surat yang diterima tertuduh daripada Putera Saud Abdulaziz, hakim bicara menyatakan bahawa orang itu tidak menyatakan dalam suratnya bahawa dia menulis bagi pihak Raja Saudi.

Najib didapati bersalah terhadap ketujuh-tujuh pertuduhan melibatkan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kuasa melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd. - Foto Bernama
Najib didapati bersalah terhadap ketujuh-tujuh pertuduhan melibatkan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kuasa melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd. - Foto Bernama

Hakim bicara menambah: “Penulis kata dia tidak mengharapkan apa-apa balasan dan ini suatu yang mencurigakan. Malangnya tertuduh, seorang yang bijaksana dan seorang Perdana Menteri, tidak membuat siasatan lanjut.” (The writer said he did not expect anything in return, which is of suspicious nature, yet the accused, an intelligent person and a prime minister, did not probe further.)

Akhirnya, setelah membaca penghakiman bertulisnya hampir dua jam, pada jam 12.17 tengah hari, hakim bicara memutuskan bahawa pasukan pembelaan telah gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap tiga pertuduhan pecah amanah terhadapnya.

Hakim bicara juga memutuskan bahawa pasukan pembelaan telah gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap tiga pertuduhan pengubahan wang haram di bawah Seksyen 4(1)(b) AMLA (Anti-Money Laundering, Anti-Terrorism Financing and Proceeds of Unlawful Activities Act).

Oleh yang demikian, hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali memutuskan: “Dengan ini, saya dapati tertuduh bersalah dan disabitkan dengan kesemua tujuh pertuduhan.” (I therefore find the accused guilty and convict the accused on all seven charges.)Peguambela Najib, Tan Sri Shafee Abdullah, kemudian memohon pendengaran mitigasi dan penetapan hukuman ditangguhkan hingga Isnin depan (3 Ogos). Katanya lagi, dia perlu sedikit masa untuk membuat persiapan mengenai kes paling besar di dunia (the biggest case in the world).

Tambahnya lagi, seluruh negara sedang dikurung dan anak guamnya tak akan pergi ke mana-mana. Kes Najib dan SRC ini tidak akan berakhir di sini. Sudah pasti pasukan pembelaan akan membuat rayuan ke Mahkamah Rayuan terhadap sabitan dan hukuman, sementara menunggu rayuan didengar dan diputuskan, pastinya mereka akan memohon hukuman ditangguhkan.

Rayuan ke Mahkamah Rayuan mungkin berterusan sehingga ke Mahkamah Persekutuan. Selagi rayuan belum diputuskan, selama itu juga penangguhan hukuman akan diteruskan dan selama itu juga Najib akan bebas bergerak (atas jaminan).

Dalam situasi begini, andainya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan dalam masa terdekat, Najib masih belum hilang kelayakan untuk bertanding.

*Profesor Datuk Salleh Buang ialah bekas Peguam Persekutuan, Pensyarah dan Profesor Undang-undang