Lebih laris jual haiwan korban secara online

Sekumpulan biri-biri dikawal oleh seorang pengembala di Srinagar pada 21 Julai 2020. - Foto AFP
Sekumpulan biri-biri dikawal oleh seorang pengembala di Srinagar pada 21 Julai 2020. - Foto AFP
A
A
A

SEEKOR kambing bernama 007 mempunyai bulu perang yang panjang dan bergerak-gerak apabila ditiup angin di depan sebuah kamera.

Ia adalah antara ribuan haiwan itu yang dijual menerusi online ketika penduduk Muslim yang bersedia meraikan perayaan Hari Raya Aidiladha dalam suasana pandemik koronavirus (Covid-19) sedang melanda dunia.

Berjuta-juta kambing, biri-biri dan lembu akan disembelih pada Hari Raya Aidiladha yang turut disambut oleh kira-kira 600 juta penduduk di Asia Selatan.

Bagaimanapun, pandemik itu teruk melanda India, Bangladesh dan Pakistan.

Keadaan itu menyebabkan pasar-pasar utama ditutup kerana bimbang Covid-19 akan menular sehingga mengakibatkan para pelanggan melarikan diri sebelum perayaan itu berlangsung.

Hari Raya Aidiladha itu akan disambut oleh penduduk Pakistan pada 31 Julai ini, India dan Bangladesh pada 1 Ogos ini.

"Kami masih berasa trauma selepas kehilangan dua bapa saudara disebabkan Covid-19," kata Saddid Hossain kepada AFP di ibu kota Bangladesh, Dhaka.

"Namun, kami perlu kekal berada dalam tradisi agama kami. Justeru, kami sanggup membeli lembu daripada seorang penjual," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Penternak-penternak dan penjual haiwan kini telah menggunakan laman web, aplikasi dan sosial media untuk menjual haiwan berikutan pasar-pasar yang kini lenggang.

Seorang penternak, Fahad Zariwala mempromosikan kambing-kambing seperti 007 dari ladang-ladang di India menerusi saluran YouTubenya yang mempunyai lebih daripada 800,000 pengikut.

"Saya merakamkan video gerak perlahan dengan muzik yang menarik dan menjadikan kambing-kambing ini popular," katanya yang berpangkalan di Mumbai.

"Ia (kambing-kambing itu) mempunyai personaliti dan kebanyakannya dinamakan sempena filem-filem dan pelakon tersohor Bollywood," katanya kepada AFP.

Fahad telah melihat peningkatan besar pengikutnya dari Australia, Britain, Amerika Syarikat (AS) dan Timur Tengah yang mempunyai diaspora Asia Selatan di saluran YouTube itu.

Sebuah ladang yang dipromosikannya mengendalikan pertandingan cantik haiwan bagi menarik pelanggan-pelanggan berpotensi sekali gus mungkin membeli kambing-kambing untuk keluarga mereka di India.

India mempunyai kira-kira 200 juta penduduk Muslim.

Seorang vendor merakamkan gambar seekor lembu menerusi sebuah telefon bimbit di sebuah pasar di Dhaka, Bangladesh pada 24 Julai 2020. - Foto AFP
Seorang vendor merakamkan gambar seekor lembu menerusi sebuah telefon bimbit di sebuah pasar di Dhaka, Bangladesh pada 24 Julai 2020. - Foto AFP

PashuBajaar yang menjual ribuan kambing untuk petani India berkata, jualan menerusi online telah meningkat daripada puluhan haiwan itu pada tahun lalu kepada lebih 2,500 ekor dalam tempoh tiga bulan.

"Kami telah menerima ribuan tempahan melalui online untuk tahun depan," kata Ketua Eksekutif PashuBajaar, Sanjeev Kumar kepada AFP.

Haiwan-haiwan itu dihantar kepada pembeli dengan menggunakan kenderaan yang tidak bertutup dengan setiap sebuah daripadanya boleh membawa antara 10 hingga 15 ekor.

Para pembeli boleh memilih seekor haiwan dan ia akan dihantar sampai ke pintu rumah, disembelih atau disumbangkan untuk sebuah pertubuhan kebajikan.

Ketua Eksekutif Qurbani App, Muhammad Ali Chaudhry berkata, tempahan kini terlalu tinggi.

Seorang penternak kambing, Muhammad Naeem bagaimanapun berkata, transaksinya telah meningkat kepada hampir 100 peratus.

Sebelum ini, katanya, jualannya hanya sebanyak 20 peratus.

Namun, peningkatan jualan itu disertai dengan harga yang lebih randah.

Seorang penjual haiwan di Mumbai, Walid Dawood Jat menjual enam ekor kambing menerusi online ketika India mengalami sekatan pergerakan akibat Covid-19 pada harga yang separuh.

"Kami selalunya menjual kambing pada harga 500 hingga 600 rupee (RM28.42 hingga RM34.10) setiap kilogram," katanya

Tambahnya, harga haiwan itu telah berkurangan kepada separuh.

"Pembeli membuat tawar-menawar. Mereka menyatakan tidak mempunyai wang. Pendapatan mereka juga berkurangan." katanya.

Sementara itu, di sebuah pasar terbesar lembu di Dhaka, jualan ternakan menurun daripada 400,000 ekor seminggu pada tahun sebelumnya kepada 30,000 ekor.

"Pada tahun lalu, ramai orang yang datang. Kami cukup sibuk," kata seorang peniaga, Kalu Bepari.

Dia juga sanggup mengharungi perjalanan sejauh 245 kilometer ke bazar itu dengan 13 ekor lembu tetapi hanya mampu menjual sebanyak dua ekor pada harga yang terlalu murah. - AFP