Peranan Rela dalam Hanruh

No Image Caption
A
A
A

KEJAYAAN serangan skala besar Tentera Berikat di pantai Normandy, Perancis pada 6 Jun 1944 bagi membebaskan Eropah barat daripada Nazi menjadi titik tolak kepada kekalahan Jerman semasa Perang Dunia Kedua.

Serangan melibatkan kira-kira 150,000 tentera dengan objektif untuk menawan kawasan sejauh 80 kilometer sepanjang pantai Normandy yang dibahagikan kepada lima sektor iaitu Utah, Omaha, Gold, Juno dan Sword.

Bagaimanapun, serangan D-Day tidak akan berjaya tanpa bantuan kumpulan gerila bawah tanah Perancis. Hampir 80 peratus maklumat perisikan yang mereka salurkan tentang tentera Jerman adalah tepat.

Sebab itu, dalam konteks pertahanan dan keselamatan sesebuah negara, peranan militia atau sukarelawan bersenjata ini tidak boleh dipandang rendah.

Inilah yang dipikul oleh Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) atau sebelumnya dikenali sebagai Ikatan Relawan Rakyat di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Mengikut strategi pertahanan menyeluruh (Hanruh), Rela diletakkan sebagai barisan ketiga pertahanan negara iaitu selepas angkatan tentera dan polis. Ini bermaksud, kira-kira tiga juta keanggotaan Rela perlu bersedia untuk mengangkat senjata apabila dikerah.

Penubuhan Rela sendiri adalah berkait rapat dengan keberkesanan pasukan Home Guard yang ditubuhkan bagi menjaga keselamatan setempat semasa Darurat di Tanah Melayu.

Semasa Konfrontasi, kerajaan telah menubuhkan Pasukan Kawalan Khas dengan peranan sama seperti Home Guard bagi membantu pihak tentera dan polis selain berperanan sebagai mata dan telinga mengesan kehadiran musuh.

Artikel Berkaitan:

Idea penubuhan Rela dicetuskan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Tun Dr Ismail Abdul Rahman yang merasakan pentingnya untuk mewujudkan satu pasukan sukarela dalam menangani ancaman keselamatan negara.

Sehubungan itu, Rela ditubuhkan pada tahun 1972. Rela dinaik taraf kepada Jabatan Persekutuan lalu dikenali sebagai Jabatan Sukarelawan Malaysia pada tahun 2013.

Tugas Rela adalah berdasarkan Akta 752 iaitu membantu mana-mana pasukan atau pihak berkuasa keselamatan apabila diminta oleh pihak berkuasa itu.

Ketika ini, hampir setiap kampung atau mukim mempunyai platun Rela yang ditadbir mengikut kawasan masing-masing.

Pelaksanaan Strategi Lautan Biru Kebangsaan sejak tahun 2010 pula menyaksikan kira-kira 4,000 anggota Rela diserap menganggotai Pasukan Sukarelawan Polis untuk membantu mencegah jenayah di empat negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Johor.

Di Sabah, khidmat Rela juga diminta bagi menjaga ketenteraman awam di kawasan komuniti masing-masing di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

Mutakhir, bantuan Rela turut ditagih oleh kerajaan sebagai petugas barisan hadapan bersama 50,000 anggota polis, tentera dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia untuk menguatkuasakan arahan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memutuskan rantaian wabak Covid-19.

Justeru, cadangan KDN untuk menyusun semula skop penugasan dan gerak kerja Rela bagi memastikan fungsinya diperhebatkan selain memperkasa imej pasukan itu termasuk membekalkan semula anggotanya dengan senjata api tepat pada masanya.

Difahamkan, penggunaan senjata api ini hanya kepada anggota yang berkelayakan semasa melakukan tugasan selain menjalankan tanggungjawab menjadi mata dan telinga kerajaan dalam mengesan pendatang asing tanpa izin.Sudah pasti cadangan transformasi ini akan menyuntik moral pada anggota Rela untuk terus memberikan khidmat sejajar dengan motonya, ‘Setia Berbakti’.