Pelik wanita Vietnam terperangkap atas siling

Pihak bomba mengarahkan seorang wanita Vietnam terjun ke atas kusyen udara selepas terperangkap di atas siling tingkat tujuh, Apartmen Pinnacle Tower, Johor Bahru hari ini.
Pihak bomba mengarahkan seorang wanita Vietnam terjun ke atas kusyen udara selepas terperangkap di atas siling tingkat tujuh, Apartmen Pinnacle Tower, Johor Bahru hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang wanita warganegara Vietnam terperangkap atas siling di tingkat tujuh, Apartment Pinnacle Tower di sini hari ini.

Dalam kejadian pada jam 4.31 petang, wanita berusia 20-an itu pada mulanya menjerit meminta tolong sebelum disedari seorang tukang cuci.

Pihak pengurusan apartmen berkenaan kemudian menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin meminta bantuan menurunkan wanita itu.

Seramai 15 anggota dari BBP Larkin dengan sebuah jentera Fire Rescue Team (FRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan dua unit Rapid Intervention Motorcycle (RIM) dikejarkan ke tempat kejadian.

Ketua BBP Larkin, Timbalan Penguasa Bomba I Suhaimi Jamal berkata, mangsa berada di atas palang siling pada ketinggian kira-kira 6 meter.

"Pihak bomba bertindak memecahkan siling berkenaan sebelum memasang kusyen udara di kawasan kolam renang di tingkat berkenaan.

"Wanita berkenaan yang kelihatan takut kemudian berjaya terjun dengan selamat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Katanya, selepas turun pihak bomba mendapati terdapat luka dan calar di tubuh wanita itu dipercayai cedera semasa berada di atas siling.

Artikel Berkaitan:

Pihak bomba percaya wanita itu sudah terperangkap selama beberapa jam di atas siling sebelum tidak jumpa laluan untuk turun ke bawah.

"Apabila ditanya bagaimana dan buat apa naik ke atas siling selain adakah dia seorang diri berada di atas, wanita itu tidak dapat bercakap dalam bahasa Melayu atau Inggeris.

"Difahamkan wanita itu tinggal di asrama pekerja asing sebelah apartmen tersebut. Keadaannya seperti dikejar seseorang," katanya.

Tambahnya, operasi tamat pada jam 6.17 petang sebelum wanita berkenaan diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.