Peringatan untuk ahli politik Malaysia

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. -Foto: Bernama
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. -Foto: Bernama
A
A
A

SEMALAM satu sejarah tercatat dalam bidang perundangan dan politik Malaysia.

Buat pertama kali dalam sejarah negara, seorang bekas Perdana Menteri didapati bersalah di atas pertuduhan jenayah pecah amanah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa.Datuk Seri Najib Tun Razak didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung penyelewengan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Bagaimanapun, keputusan semalam bukanlah noktah akhir perjalanan kes Ahli Parlimen Pekan itu memandangkan kesnya akan dibawa ke peringkat Mahkamah Rayuan dan seterusnya Mahkamah Persekutuan.

Keputusan semalam diiringi dengan pelbagai respons. Sudah tentunya di pihak penyokong Najib, mereka kekal menyatakan bekas Perdana Menteri keenam itu tidak bersalah.

Namun, dalam sistem demokrasi yang membahagikan kuasa kepada tiga iaitu eksekutif, legislatif dan kehakiman, keputusan semalam membuktikan tiada sesiapa yang berada di atas undang-undang.

Kedaulatan undang-undang terpakai kepada semua, daripada raja-raja sehinggalah kepada Perdana Menteri dan menteri-menteri, kepada penjawat awam serta rakyat biasa.

Namun, yang pasti keputusan semalam juga sudah tentunya satu peringatan besar buat semua ahli politik negara terutamanya dalam senario politik hari ini yang penuh kekalutan.

Tanpa menuding jari kepada mana-mana ahli politik atau mana-mana parti, kalau kita lihat bukan sedikit ahli politik hari ini yang sedang berdepan dengan kes mereka di mahkamah.

Artikel Berkaitan:

Bukan sedikit juga ahli politik yang kini sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Bergelar ahli politik dengan kuasa besar di atas bahu, seharusnya ia digunakan sebaik mungkin untuk membangunkan negara dan berkhidmat kepada rakyat.

Kuasa itu bukanlah lesen untuk mengaut dan membahagikan harta dengan cara yang salah.

Awas, jika mahkamah boleh memenjarakan seorang bekas Perdana Menteri, sudah tentunya mahkamah sama boleh memenjarakan politikus kecil lain yang curang.