Dua askar Thai positif Covid-19 selepas pulang dari AS

Dua anggota tentera Thai yang pulang dari Hawaii, Amerika Syarikat (AS) selepas menyertai satu latihan ketenteraan merupakan dua kes terkini Covid-19 di Thailand. - Gambar hiasan
Dua anggota tentera Thai yang pulang dari Hawaii, Amerika Syarikat (AS) selepas menyertai satu latihan ketenteraan merupakan dua kes terkini Covid-19 di Thailand. - Gambar hiasan
A
A
A

BANGKOK - Dua anggota tentera Thai yang pulang dari Hawaii, Amerika Syarikat (AS) selepas menyertai satu latihan ketenteraan merupakan dua kes terkini Covid-19 di Thailand.

Sejak penularan wabak Covid-19 pada Januari, Thailand mencatatkan 3,297 kes dengan 58 kematian. Sejumlah 3,111 pesakit telah pulih dan didiscaj daripada hospital sementara 129 masih lagi berada di wad.

Hari ini merupakan hari ke-64 Thailand merekodkan sifar jangkitan tempatan.

Dalam satu kenyataan, Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) berkata, lelaki berusia 22 dan 25 tahun itu tiba pada 22 Julai lepas dan sedang menjalani kuarantin 14 hari di kemudahan yang disediakan kerajaan.

Sejumlah 151 anggota tentera Thai kembali ke negara ini selepas menyertai latihan, Lightning Forge 2020 bersama tentera AS di Schofield Barracks, Hawaii. Sebaik sahaja tiba, 10 daripada mereka merupakan individu dalam siasatan dan enam daripada mereka disahkan positif pada 24 Julai.

“Semenjak 3 April, sejumlah 66,863 warga Thai kembali dari luar negara dan menjalani kuarantin wajib di kemudahan yang disediakan kerajaan di seluruh negara. Setakat ini, seramai 360 anggota yang kembali didapati positif selepas disaring,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Kawalan Penyakit di bawah Kementerian Pendidikan dan Kesihatan Awam sedang menimbangkan untuk memulakan kelas seperti biasa kerana Thailand melaporkan sifar jangkitan tempatan dalam tempoh 64 hari.

Pihak berkuasa berkaitan akan menilai keadaan itu di sekolah-sekolah di seluruh negara, kata CCSA.

Artikel Berkaitan:

Sejak sekolah dibuka semula pada 1 Julai di bawah kebiasaan baharu, sekolah dengan kelas yang besar telah melakukan susunan dengan membahagikan kelas kepada dua kumpulan, satu kumpulan akan belajar selama lima hari di sekolah sementara satu lagi kumpulan belajar secara dalam talian menerusi siaran televisyen pembelajaran jarak jauh kerajaan (DLTV). Selepas seminggu, kedua-dua kumpulan akan bertukar kaedah pembelajaran.

Sementara itu, sesetengah sekolah membahagikan pelajar kepada kumpulan yang akan ke sekolah selang sehari.

Untuk mengekang penularan Covid-19 di negara itu, Pejabat Suruhanjaya Pendidikan Asas (Obec) mengehadkan jumlah murid sekolah rendah di setiap kelas tidak lebih daripada 20 orang dan pelajar sekolah menengah dihadkan tidak melebihi 25 orang. - Bernama